SEREMBAN, 17 Mac – Polis Diraja Malaysia menafikan penyebaran berita yang mendakwa dua lelaki dikatakan positif wabak coronavirus (COVID-19), melarikan diri dari Hospital Port Dickson, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata sebaliknya kedua-dua individu yang berumur 40 dan 44 tahun itu telah datang ke hospital berkenaan bagi menjalani ujian saringan COVID-19 mengikut prosedur pihak hospital kerana disyaki mempunyai simtom COVID-19.
“Bagaimanapun, individu berumur 40 tahun telah meninggalkan hospital tanpa menjalani ujian saringan tetapi kembali semula untuk membuat ujian tersebut,
“Manakala seorang lagi pesakit berumur 44 tahun, belum kembali semula ke hospital dan pihak jabatan kesihatan, hospital serta dibantu polis sedang mengesan individu berkenaan,
“Semakan lanjut juga masih dijalankan sama ada kedua-duanya telah hadir di Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling ataupun tidak,
“Kenyataan yang tular menyatakan kedua-dua lelaki berkenaan positif COVID-19 adalah tidak benar dan pihak hospital belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan hasil keputusan saringan dilakukan,” katanya dalam kenyataannya.
Aidi Sham menasihatkan mana-mana individu supaya tidak menularkan sebarang kenyataan atau laporan yang tidak benar dalam media sosial kerana ia boleh mendatangkan rasa panik dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai diminta supaya merujuk terlebih dahulu kepada Pihak Polis atau Pejabat Kesihatan untuk mendapatkan pengesahan yang tepat,
“Polis juga akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang menviralkan sebarang kenyataan yang tidak benar terutama berkaitan isu COVID-19,” tambah Aidi Sham.