Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima: ATM tidak terlibat dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan COVID-19

Panglima: ATM tidak terlibat dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan COVID-19

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral  Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan koronavirus-2019 (COVID-19).

Menurut beliau, pelaksanaan perintah tersebut hanya melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pihak PDRM akan menentukan tugas penguatkuasaan susulan pengumuman perintah yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini. Perintah kawalan yang diumumkan adalah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967.

Dalam pada itu, Affendi menegaskan operasi dan penugasan anggota tentera masih berjalan seperti biasa terutamanya di kawasan sempadan serta perairan negara. Walaupun begitu, beliau turut menjelaskan ATM akan mengurangkan latihan yang tidak penting buat masa ini.

Beliau turut menjelaskan yang pengumuman perintah itu tidak akan menjejaskan operasi serta penugasan pegawai dan anggota di sempadan serta perairan negara.

“Operasi sempadan dan perairan negara berjalan seperti biasa. Tetapi, ATM akan mengurangkan latihan yang tidak mendesak,” jelasnya lagi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan sebanyak 125 kes baharu COVID-19 dikesan di negara ini. Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 533.

Related Articles

Leave a Reply