Home Semasa Latheefa Koya sah letak jawatan sebagai Ketua SPRM

Latheefa Koya sah letak jawatan sebagai Ketua SPRM

by M.Daim

PUTRAJAYA, 6 Mac – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya hari ini mengesahkan beliau telah meletak jawatan dari agensi itu.

“Keputusan untuk meletak jawatan adalah pilihan saya sendiri dan mana-mana spekulasi terhadap desas-desus peletakan jawatan saya adalah tidak benar,

“Saya berniat untuk kembali semula ke kerjaya sebagai peguam hak asasi,” kata Latheefa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut beliau, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

Namun begitu, pengesahan peletakan jawatan beliau adalah bergantung dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Latheefa turut mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan menerangkan kepada beliau akan keputusan saya untuk meletak jawatan,” kata Latheefa.

Menurutnya, perbincangan dengan Muhyiddin berjalan dengan baik dan Perdana Menteri menerima keputusan Latheefa dengan terbuka.

“Saya turut menerangkan usaha berterusan  oleh SPRM dalam mengembalikan dana yang dicuri dari 1MDB di luar negara,

“Beliau (Muhyiddin) menyokong penuh dengan usaha itu,” jelas Latheefa.

Selain bertemu dengan Perdana Menteri, Latheefa turut mengadakan pertemuan dengan TImbalan Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Bakri dan Ketua-ketua jabatan SPRM.

“Pertemuan ini bagi memastikan penyerahan tugas berjalan dengan lancar. Saya tinggalkan SPRM dengan penuh keyakinan bahawa mereka akan terus menentang gejala rasuah tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik mereka yang terlibat,” katanya lagi.

Semalam, media tempatan melaporkan Latheefa Koya dikatakan telah meletakkan jawatan susulan perubahan dalam kerajaan.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebelum ini turut melepaskan jawatan beliau ekoran peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 24 Februari lalu.

Latheefa Koya dilantik sebagai Ketua Pengarah SPRM ke-14 pada 1 Jun 2019 dengan tempoh penjawatan selama 2 tahun. Beliau dilantik selepas Ketua Pengarah SPRM ke-13, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Sebelum memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah SPRM, Latheefa merupakan Eksekutif Lawyers for Liberty.

Related Articles

Leave a Reply