Home Pertahanan dan Keselamatan PDRM, APMM perkukuh kerjasama strategik jaga keselamatan perairan negara

PDRM, APMM perkukuh kerjasama strategik jaga keselamatan perairan negara

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 6 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pertingkatkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kerjasama tersebut merupakan tunjang utama dalam membentuk kesepakatan menerusi gabungan sumber manusia, keupayaan aset dan kepakaran bagi menguatkuasakan undang-undang.

“Kerjasama strategik antara PDRM dan APMM ini dapat menghasilkan perkongsian maklumat, berkongsi kepakaran, aset, latihan dan modal insan serta operasi bersama dalam memperkukuhkan lagi benteng pertahanan perairan negara.

“Ia mampu menghasilkan momentum yang jitu dan dapat diperkuatkan lagi dengan hubungan bersama agensi penguatkuasaan antarabangsa dalam menangani permasalahan maritim serantau,” katanya semasa memberi ucapan di majlis menandatangani Deklarasi Kerjasama Strategik antara PDRM dan APMM di Dewan Komuniti Markas Operasi, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, semalam.

Tambahnya, PDRM menerusi PPM telah wujud sejak 72 tahun lalu merupakan unit ‘pakar’ di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

“PPM berperanan penting dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, aktiviti rompakan di laut dan penyeludupan yang menjejaskan ekonomi serta pendapatan negara,

“Dengan mempunyai 39 buah markas, 262 buah bot ronda pelbagai kelas dan kekuatan seramai 2,445 pegawai polis serta pegawai awam, PPM telah membuktikan kemampuannya untuk kekal relevan sebagai satu entiti penguat kuasa maritim yang amat membanggakan PDRM,” jelas Abdul Hamid.

Turut diadakan persembahan demonstrasi menyelamat tebusan oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN) PPM PDRM dan Special Tactical and Rescue (STAR) APMM.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dan Pengarah KDNKA, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Related Articles

Leave a Reply