Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan Pusat beri peruntukan RM5 juta bina masjid baharu di Kem 18 RAMD

Kerajaan Pusat beri peruntukan RM5 juta bina masjid baharu di Kem 18 RAMD

by Bernama

KUALA NERUS, 15 Feb – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM5 juta bagi pembinaan sebuah masjid baharu, di Kem Sri Pantai 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) (Para) di Seberang Takir, di sini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pembinaan masjid baharu itu adalah bagi menggantikan Masjid al-Ansar di kem tersebut, yang telah pun berusia 40 tahun dan tidak lagi mampu menampung bilangan jemaah yang semakin ramai, sama ada dalam kalangan warga tentera atau masyarakat setempat.

“Kerajaan negeri telah memaklumkan kepada saya ketika lawatan singkat saya (ke Terengganu) hujung tahun lalu, bahawa ada keperluan untuk membangunkan sebuah masjid baharu di Kem Sri Pantai.

“Maka atas semangat untuk bersama-sama membangunkan dan mengangkat martabat umat Islam serta mengimarahkan syiar Islam, kementerian saya telah meneliti permohonan tersebut dan meluluskan peruntukan RM5 juta bagi membangunkan masjid baharu ini,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Kelulusan Projek Bina Baru Masjid di Masjid al-Ansar di Kem Sri Pantai 18 RAMD (Para) di Seberang Takir di sini semalam.

Pada majlis tersebut Mohamed Azmin menyerahkan replika cek bernilai RM5 juta kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mohamed Azmin berkata kelulusan peruntukan untuk masjid itu juga membuktikan kerajaan pusat sentiasa berlaku adil terhadap semua negeri.

“Ini selaras dengan perintah Allah yang menyuruh kita berlaku adil, bukan adil kepada kelompok dan kumpulan kita sahaja, adil perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang mana peruntukan kerajaan hari ini (iaitu) di peringkat persekutuan, harus diagihkan kepada semua negeri, wilayah dan desa secara saksama, khususnya negeri-negeri yang masih memerlukan pembangunan untuk mengangkat martabat umat dan rakyat,” katanya.

Kerja-kerja pembinaan masjid baharu yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi Masjid al-Ansar itu dijangka dimulakan pertengahan tahun ini dan mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk disiapkan.

Masjid baharu yang secara keseluruhan berkeluasan 1.4 hektar itu akan dapat menampung sehingga 1,200 jemaah berbanding masjid sedia ada yang hanya dapat menampung 900 jemaah. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply