Home Pertahanan dan Keselamatan Perjalanan terakhir buat 10 perwira negara

Perjalanan terakhir buat 10 perwira negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Apr – Jenazah 8 daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut akan dibawa ke Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di Ipoh untuk solat jenazah, hari ini.

Difahamkan, proses bedah siasat terhadap semua mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dijangka selesai 2 petang.

Kelapan-lapan jenazah akan disembahyangkan Surau Salahuddin Al Ayubi disusuli majlis penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi sebelum dibawa ke lokasi pengebumian di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad dijangka dibawa ke Segamat, Johor, manakala Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli akan dibawa ke Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Jenazah Pegawai Waran II TMK, Mohd Shahrizan Mohd Termizi dan Pegawai Waran II TNL, Nurfarahimi Mohd Suady masing-masing akan dikebumikan di Lekir dan Selama di Perak.

Manakala jenazah Pegawai Waran II TLR (AQM), Muhammad Faisol Tamadun dan Bintara Muda TNL, Nor Rahiza Anuar masing-masing akan dibawa ke Sik dan Yan di Kedah.

Jenazah Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi akan dibawa ke Senawang, Negeri Sembilan, manakala Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dibawa ke Rawang, Selangor.

Sementara itu, mendiang Leftenan T Sivasutan pula akan dibawa ke kediaman keluarganya di Sitiawan, Perak sejurus selepas proses bedah siasat selesai, manakala mayat Laskar Kelas JJM, Joanna Felicia anak Rohna akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak.

Semalam, Air Times melaporkan 2 helikopter TLDM iaitu pesawat Fennec (M502-6) dan pesawat HOM (M503-3) bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.30 pagi.

TLDM mengesahkan, seramai 10 orang terkorban masing-masing 7 kru HOM TLDM dan 3 kru Fennec TLDM. Insiden nahas itu berlaku ketika raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Kesemua jenazah tiba di Jabatan Forensik HRPB Ipoh kira-kira jam 6 petang semalam untuk proses bedah siasat.

Sebelum itu, jenazah ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera Lumut untuk proses pengecaman ahli keluarga dan waris.-airtimes.my

#AirTimes #Lumut #TLDM #Fennec #AW139

Related Articles

Leave a Reply