Home Diskusi Mempertahan Sebuah Negara Maritim: Apa Hala Tuju Kuasa Kebersamaan ATM

Mempertahan Sebuah Negara Maritim: Apa Hala Tuju Kuasa Kebersamaan ATM

by Liew Chin Tong

Izinkan saya mulakan dengan mengucapkan tahniah kepada MIDAS atas kejayaan menganjurkan Persidangan MIDAS tahun ini. Saya berpeluang mengikuti beberapa perbincangan hari ini dan berasa yakin bahawa perbincangan awal tadi bermutu tinggi dan sangat relevan dengan persoalan keselamatan negara pada masa akan datang.

Seperti yang anda sedia maklum, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertahanan telah menghasilkan Kertas Putih Pertahanan yang pertama, dan bakal dibentangkan di Parlimen minggu hadapan pada 2 Disember 2019. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan penggubal, ramai yang turut hadir pada hari ini, atas usaha keras yang telah diberikan sepanjang tahun lalu.

Sambil kita meraikan pencapaian yang hebat ini, adalah juga penting untuk menyedari bahawa ini hanyalah satu permulaan. Tugas sebenar baru sahaja bermula. Lebih banyak penambahbaikan yang telah dikenalpasti dalam kertas putih akan memerlukan usaha gigih kita bagi memastikan ia dilaksanakan dengan betul, demi mencapai aspirasi yang telah kita sama-sama tetapkan.

Untuk itu, adalah penting untuk kita bekerjasama secara menyeluruh (whole-of-government) dan bergerak maju secara bersama. Dari sudut ketenteraan, pembahagian antara darat, laut, udara dan medan siber semakin kabur dan memerlukan kebersamaan. Hal ini digambarkan dengan jelas dalam insiden Lahad Datu – dengan pesisir pantai Sabah sahaja sepanjang 1,400km merentas tujuh daerah Timur Sabah, adalah mustahil untuk mana-mana agensi penguatkuasa bekerja secara bersendirian. Di peringkat antarabangsa, pemerintahan bersama semakin menjadi kebiasaan.

Sama juga halnya dengan pemikiran kita di peringkat nasional. Negara ini dirahmati dengan keamanan, namun ironinya ini telah menjadikan kita begitu sambil lewa tentang keadaan keselamatan, pada beberapa tahap. Masyarakat kita tidak pernah memikirkan soal keselamatan, terutamanya dalam era pasca-Perang Dingin selepas runtuhnya Tembok Berlin serta era pasca-Komunis selepas Perjanjian Hatyai pada 1989. Sebagai contoh, perancang bandar di negara ini tidak mengambil kira faktor peperangan, serangan pengganas, bencana alam atau sebarang situasi krisis yang memerlukan evakuasi besar-besaran dalam perancangan mereka. Sekiranya mereka berbuat demikian, maka mereka tidak akan mendesak supaya kem-kem tentera dipindahkan menjauhi kawasan bandar. Saya telah menyatakan secara terbuka bahawa saya menentang projek ‘land-swap’ yang memindahkan kem urban ke kawasan yang jauh; kerana cabaran kita di masa akan datang berpusat di lokasi populasi tinggi.

Atas sebab ini, saya percaya bahawa MIDAS memainkan peranan yang penting. Sebagai badan pemikir Kementerian Pertahanan, ia harus berkhidmat sebagai pengkritik kerajaan yang jujur dan membina, dan berada di baris hadapan pemikiran strategik sambil membantu MINDEF serta agensi-agensi lain bergerak maju merangkul pemikiran dan idea-idea inovatif baharu. Sebagai institusi isu-isu pertahanan Track II yang utama, MIDAS juga memainkan peranan yang penting dalam upaya diplomasi pertahanan antara negara-negara luar, memudahcara percambangan pendapat secara jujur dengan rakan-rakan kongsi luar, yang kadang kala sukar dilakukan secara rasmi. MIDAS haruslah proaktif membina rangkaian dengan badan-badan pemikir utama di rantau ini selain membuka ruang perhubungan dengan rakan-rakan kongsi luar dan juga orang awam.

Bagi memastikan kejayaan sebuah badan pemikir, unsur yang paling penting ialah kakitangannya. Saya benar-benar percaya bahawa kita mesti melabur dalam modal insan dan membentuk generasi penyelidik yang akan bergerak maju menjadi pakar dalam bidang masing-masing. Perlu ada sebuah mekanisme ‘revolving-door’ yang konstruktif di mana kumpulan bakat-bakat ini boleh bergerak merentas kerajaan, badan pemikir, maktab pertahanan dan universiti supaya suatu bentuk sinergi boleh digembleng antara institusi-institusi ini dan hubungan sesama insan dapat dijana. Salah satu cadangan yang dikemukakan dalam Kertas Putih Pertahanan ialah membentuk kluster keselamatan, di mana penjawat awam yang terlatih dalam bidang hubungan antarabangsa dan isu-isu keselamatan boleh dipindah-pindahkan antara agensi terkait keselamatan seperti MINDEF, Kementerian Luar Negeri dan Majlis Keselamatan Negara. Kita juga boleh libatkan jeneral-jeneral dan pegawai tentera yang sudah bersara. Adalah penting bagi kita mengekalkan kumpulan berkemahiran ini, dan pada merekalah letaknya ‘institutional memory’ serta kefahaman mendalam terhadap kerumitan cabaran-cabaran keselamatan.

Saya juga percaya bahawa harus ada lebih banyak interaksi antara anggota tentera dan penjawat awam di MINDEF. Satu cadangan yang telah saya kemukakan ialah supaya modul ketenteraan diperkenalkan kepada penjawat awam baharu di MINDEF, supaya mereka dapat mengalami sendiri cabaran yang dihadapi anggota tentera, yang saya rasakan sangat berharga apabila mereka meningkat ke kedudukan di mana mereka akan perlu membuat keputusan yang akan memberi kesan kepada anggota di bawah.

Pertahanan negara adalah tanggungjawab kita semua. Daripada mengeluh tentang kurangnya kesedaran dalam kalangan orang ramai, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berkomunikasi dengan lebih baik kepada orang awam tentang bagaimana soal-soal pertahanan memberi kesan kepada mereka. Mengambil isyarat daripada Kertas Putih Pertahanan, marilah kita sama-sama memikirkan tentang cara-cara berkesan untuk menyampaikan idea-idea utama, seperti idea negara maritim, kebersamaan, dan HANRUH kepada orang awam. Saya berharap aktiviti MIDAS tahun hadapan boleh dibina dengan berpandukan tujuan ini. Berfikirlah sebagai pencetus idea dan pembimbing pemikiran, bukan sebagai penyusun seminar dan acara. Hanya dengan menyemai kesedaran secara menyeluruh (whole-of-nation) tentang keselamatan dan pertahanan, maka kita akan bergerak maju sebagai sebuah negara yang aman, berdaulat dan makmur.

Dengan kata-kata itu, saya ucapkan terima kasih atas kehadiran anda hari ini, dan secara rasminya menutup persidangan ini.

*Penulis adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia. Artikel asal disiarkan di laman blog kendalian beliau.

Related Articles

Leave a Reply