Home Politik PRK Tanjung Piai: Polis buka tiga kertas siasatan

PRK Tanjung Piai: Polis buka tiga kertas siasatan

by Bernama

PONTIAN, 6 Nov — Polis menerima lapan laporan ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sejak 2 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh berkata daripada jumlah itu, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka.

Salah satunya ialah berkaitan kes seorang pemimpin yang didakwa memberi ucapan berunsurkan perkauman dan hasutan dalam satu perjumpaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio Kukup, baru-baru ini.

Katanya kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan Seksyen 505(b) KK manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, boleh didenda RM50,000 atau dipenjara selama setahun atau kedua-duanya.

“Kita akan tengok sama ada terdapat keperluan untuk memanggil pemimpin berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini, hari ini.

Mustapa berkata selain itu, pihaknya turut membuka kertas siasatan terhadap laporan kejadian billboard parti Gerakan ditumbangkan di kawasan Kukup serta bendera parti Pakatan Harapan (PH) dicabut dan dipatahkan di kawasan Kampung Kebun Baru Permas.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan kempen secara keseluruhannya masih lagi berjalan dalam keadaan aman dan terkawal.

Sehingga kini, sebanyak 159 permit telah dikeluarkan pihak polis kepada semua parti bagi menjalankan kempen mereka.

Ia merangkumi 23 permit dikeluarkan kepada PH, 74 (Barisan Nasional) dan 62 untuk Gerakan.

“Kita akan sentiasa memantau perjalanan kempen ini dan harap semua parti memohon permit sebelum kempen dijalankan.

“Kita juga menasihatkan semua calon atau parti terlibat agar tidak timbulkan suasana provokasi atau emosi sepanjang tempoh berjalan,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Pada pilihan raya kecil itu, calon PH Karmaine Sardini berdepan pertandingan enam penjuru, melawan calon Barisan Nasional daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 16 Nov ini.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply