Home Semasa Projek Land Swap: Syarikat Syed Mokhtar nafi perolehi diskaun RM258 juta

Projek Land Swap: Syarikat Syed Mokhtar nafi perolehi diskaun RM258 juta

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Syarikat Kelana Ventures Sdn Bhd (KVSB) yang dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menafikan memperolehi diskaun RM258 juta daripada Kementerian Pertahanan dalam perjanjian pertukaran tanah (Land Swap).

Ia berhubung siasatan ke atas 16 Projek ‘Land Swap’ Kementerian Pertahanan yang menghadapi kerugian melebihi RM 500 juta kerana salah tadbir urus dan faktor lain.

Pada 19 Feb lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata Kementerian Pertahanan akan membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan ke atas 16 Projek ‘Land Swap’ (penswastaan memajukan tanah) yang menghadapi kerugian melebihi RM 500 juta.

“Kementeriannya telah menerima laporan akhir siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang terhadap beberapa projek kementerian termasuk “Land Swap”, katanya.

Susulan daripada itu, pegawai khas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu Mohd Nasaie Ismail membuat laporan kepada SPRM mengenai perkara itu pada 21 Feb (Khamis) lalu.

“Daripada 16 isu ‘land swap’, pihaknya menyerahkan dua hasil siasatan kepada SPRM yang melibatkan projek pembinaan Kem Paloh, Johor dan Hutan Melintang di Perak.

“Kedua-dua projek tersebut dijalankan pihak swasta hasil pertukaran tanah tapak Kem Kinrara, Selangor dan Kem Rasah di Negeri Sembilan”, kata Nasaie seperti dilaporkan AirTimes.

Artikel Berkaitan: Campur tangan politik ancam strategik pertahanan negara

Nasaie berkata urus niaga itu menimbulkan persoalan, memandangkan kerajaan terdahulu telah menilai tanah itu pada harga RM500 juta, tetapi berharga RM758 juta oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

The Edge kemudian memetik sumbernya sebagai berkata syarikat itu adalah KVSB.

Dalam satu kenyataan kepada The Edge semalam yang dilaporkan Malaysiakini, pengarah KVSB Ahmed Kamil Mustafa Kamal menjelaskan bahawa penilaian RM500 juta untuk kem tentera itu adalah berdasarkan “keadaan sedia ada”.

Ahmed Kamil menambah penilaian itu tidak mengambil kira premium penukaran masa depan yang perlu dibayar untuk mendapatkan status komersil dan kediaman, serta sekatan dan syarat lain yang mungkin dikenakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Sebagai pertukaran untuk tanah kem di Kinrara, beliau berkata KVSB akan membina kem tentera baru di Paloh, Johor dengan harga RM280.7 juta.

Ia juga akan membina pusat latihan pengurusan logistik baru di Sendayan dengan kos RM137.3 juta, serta ibu pejabat TUDM di Kementah dengan kos RM81.9 juta.

Jumlah kos bagi ketiga-tiga projek itu adalah RM499.9 juta.

“(Tetapi) perjanjian pertukaran tanah dan perjanjian untuk membina kemudahan-kemudahan di atas masih belum ditandatangani antara KVSB dan Kementerian Pertahanan.

“Bagaimanapun, atas permintaan Kementerian Pertahanan, kami telah bersetuju untuk memulakan kerja-kerja pembinaan untuk kem Paloh,” kata Ahmed Kamil.

Pembinaan Kem Paloh dimulakan ketika era Hishammuddin Hussein sebagai menteri pertahanan. Paloh berada di kawasan parlimen Hishammuddin, Sembrong.

Hishammuddin berkata beliau tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan dan mengalukan-alukan siasatan terhadap skandal itu.

 

Related Articles

Leave a Reply