Home Pertahanan dan Keselamatan Militan Abu Sayyaf terus mengganas lakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan

Militan Abu Sayyaf terus mengganas lakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 24 Feb – Kumpulan militan Abu Sayyaf masih aktif melakukan kegiatan penculikan dan rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi memperolehi wang tebusan dari selatan Filipina.

Berikutan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata perintah berkurung dari pukul 6 petang hingga 6 pagi meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 12 Mac ini.

Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak dicerobohi pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan, kata Omar dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZONE.

Beliau berkata perintah berkurung berkenaan akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE untuk mengeluarkan permit kepada pemohon (penduduk), dengan memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” tegas Omar.

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply