Home Pertahanan dan Keselamatan Kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia diperketat – KPN

Kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Indonesia diperketat – KPN

by Air Times News Network

KUCHING, 7 Jan – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia di sebelah Sarawak akan diperketat susulan insiden penculikan lima rakyat negara ini oleh pasukan keselamatan republik itu pada bulan lepas.

Memetik laporan Bernama, Mohamad Fuzi berkata usaha itu turut diselaraskan bersama Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

“Usaha ini juga membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 347 penerima, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 11 Disember 2018, lima pembalak Malaysia diculik sebagai tebusan oleh sekumpulan lelaki yang dikatakan anggota tentera Indonesia, di hutan berhampiran Kampung Danau Melikin.

Dua daripada mereka dilapor dibebaskan pada hari sama bagi membolehkan mereka membayar wang tebusan, manakala tiga lagi dibebaskan keesokannya susulan perundingan.

Ekoran kejadian itu, Wisma Putra menghantar nota bantahan kepada kerajaan Indonesia mengutuk perkara berkenaan.

Berhubung kes penculikan itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Related Articles

Leave a Reply