Home Pertahanan dan Keselamatan ATM rancang tubuh Pusat Operasi Pasukan Khas

ATM rancang tubuh Pusat Operasi Pasukan Khas

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Bin Zainal Abidin mengumumkan rancangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mewujudkan Pusat Operasi Pasukan Khas (Special Forces Operation Command).

Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa menyampaikan Amanat Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2019 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia pada hari ini.

“Atas konsep ‘joint’ (ketumbukan bersama) juga, ATM akan mewujudkan Special Forces Operation Command yang akan menggabungkan elemen pasukan khas dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam melaksanakan tugas-tugas khas yang melibatkan kepentingan nasional dan strategik,” kata Zulkifli dalam amanat beliau.

Amanat Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2019 yang dizahirkan adalah bertujuan untuk memberi gambaran,panduan dan rujukan kepada semua perkhidmatan berkenaan hala tuju ATM pada tahun ini.

“Kita ada keperluan untuk mewujudkan satu “command” yang bertujuan untuk menguruskan perkara-perkara seperti latihan, doktrin dan operasi bersama,”

“Acuan operasi dan penubuhan akan dibuat mengikut keperluan dan kehendak kita,” jelas Tan Sri Zulkifli dalam sidang media selepas menyampaikan amanat.

Malaysia sebelum ini telah menubuhkan Pasukan Operasi Khusus Nasional (National Special Operations Force – NSOF) pada tahun 2016. Penubuhan NSOF pada ketika itu melibatkan kesemua elemen pasukan khas dari ATM, PDRM dan APMM.

Walaupun begitu, NSOF telah dibubarkan pada awal Oktober 2018.

Jeneral Tan Sri Panglima Zulkifli Zainal Abidin mengumumkan ATM akan mewujudkan ‘Special Forces Operation Command’ untuk menggabungkan ketiga-tiga elemen pasukan khas perkhidmatan ATM ketika menyampaikan Amanat Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tahun 2019 di Auditorium Wisma Pertahanan, KEMENTAH pada hari ini.

Eksesais Pahlawan 2019

Selain daripada penubuhan Pusat Operasi Pasukan Khas, Panglima Angkatan Tentera turut memaklumkan rancangan perlaksanaan Eksesais Pahlawan.

“Eksesais Pahlawan adalah latihan gabungan yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

“Latihan ini juga turut melibatkan pengoperasian pasukan khusus,” jelas Zulkifli.

Eksesais Pahlawan 2019 yang dijangka akan berlangsung pada Oktober 2019 nanti turut merangkumi ‘domain cyber electromagnetic’. Latihan ini bakal diterajui oleh Markas Angkatan Bersama dan dilaksanakan dalam bentuk “Command Post Exercise” (CPX) serta Field Training Exercise (FTX).

Beliau turut menyatakan bahawa ATM akan melaksanakan hampir 60 latihan bilateral dan multilateral.

Domain siber sebagai pemangkin operasi bersama

Panglima Angkatan Tentera turut menyatakan keperluan penubuhan Data Fusion Centre (DFC) dan Information Fusion Centre (IFC) bagi memantapkan lagi operasi ATM.

“Saya melihat cyber domain (domain siber) khususnya dalam aspek ‘information superiority’ sebagai platform utama yang mampu untuk memangkin operasi bersama melalui  perkongsian maklumat dan data.

“Pusat ini akan berfungsi sebagai ‘one-stop centre’ yang bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat penting bagi tujuan koordinasi dan menentukan tindak balas yang tepat dalam apa jua keadaan,” kata Zulkifli.

Beliau menambah, ATM mempunyai kekuatan tersendiri dalam domain siber elektromagnetik merupakan dimensi keempat.

Kertas Putih Pertahanan

Menyentuh Kertas Putih Pertahanan (Defence White Paper), Panglima Angkatan Tentera menjelaskan bahawa Kementerian Pertahanan dan ATM sedang membangunkan kertas putih pertahahan.

Menurut beliau, dokumen tersebut akan menjadi satu dokumen penyataan niat yang mampu menggariskan arah tuju pertahanan dan keselamatan negara.

“Kertas putih kali ini melibatkan seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta dalam perbincangan, memberi pendapat dan sebagainya.

“Kementerian Pertahanan akan memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk memberi pandangan dan juga pendapat,” kata Tan Sri Zulkifli.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?