Home PolitikPakatan Harapan Steram yakin kekal jadi calon DUN Rantau

Steram yakin kekal jadi calon DUN Rantau

by Air Times News Network

SEREMBAN, 16 Nov – Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Steram menyangkal khabar angin bahawa Rafizi Ramli akan dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan sekiranya mahkamah memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan ekoran petisyen difailkannya terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dr Steram yakin akan kekal sebagai calon DUN Rantau sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepadanya.

Menurut laporan Sinar Harian, Dr S Steram berkata sehingga kini tiada sebarang perbincangan mengenai calon DUN Rantau, sebaliknya beliau mendakwa pucuk pimpinan memaklumkan akan kekal dengan calon yang sama.

“Setakat ini tiada perbincangan apa-apa, saya juga tiada maklumat mengenai calon baru, malah saya telah diminta untuk melakukan persediaan bagi menghadapi PRK di DUN Rantau ini.

“Saya yakin nama saya akan kekal sebagai calon di Rantau, mengenai Rafizi, itu hanyalah khabar angin yang dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu mencetuskan kontroversi.

“Hal Rafizi itu hanyalah spekulasi sahaja, khabar angin bukan betul pun, saya yakin itu tidak akan berlaku (Rafizi calon di PRK DUN Rantau),”katanya.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU 14 itu berkata, dua hari lepas beliau telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan untuk membuka bilik gerakan sebagai persediaan awal menghadapi PRK di Rantau.

Katanya, pihaknya juga akan berjumpa dengan ahli-ahli MPKK DUN Rantau bagi memastikan gerak kerja berjalan lancar sehingga ke akar umbi, dalam memastikan misi untuk merampas semula kerusi DUN Rantau berjaya dilaksanakan.

Pada 28 April lalu, Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan di Dewan Seri Rembau kerana tidak memiliki pas calon yang diperakukan SPR, sekali gus menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding di kerusi itu.

Terdahulu, pada 23 Mei lalu, Steram failkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Seremban, melalui peguamnya yang menamakan penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan; Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N27 Rantau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden pertama hingga ketiga.

Related Articles

Leave a Reply