Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Bustaman bersara secara rasmi mulai hari ini

Bustaman bersara secara rasmi mulai hari ini

by Air Times News Network

KUCHING, 15 Nov – Panglima Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin hari ini secara rasmi mengakhiri perkhidmatannya selama 40 tahun berkhidmat dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).

Majlis upacara perbarisan serah terima tugas Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia di Padang Kawad Kem Semenggo 11 RAMD itu disaksikan Panglima Satu Divisyen Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang.

Menurut laporan Utusan Borneo Online, Bustaman memegang tampuk kepimpinan Panglima 3 Briged sejak 30 Mei 2016 dan kini tugas itu disandang Leftenan Kolonel Salmi Istikh Ahmad sebagai Pemangku Panglima 3 Briged yang ke-35.

Jawatan Panglima 3 Briged itu nanti akan disandang Kolonel Mohd Isa Jaafar yang kini masih bertugas di luar negara.

Perbarisan bermula dengan upacara Serah Terima Tugas Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia yang menyaksikan Bustaman menyerahkan tampuk pemerintahan Panglima Tiga Briged kepada Salmi sebagai Pemangku Panglima Tiga Briged.

Kemudian diikuti upacara menandatangi Dokumen Serah Terima Tugas serta penyerahan Tongkat Kuasa  Panglima Tiga Briged  disaksikan oleh Toh.

Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas Panglima Tiga Briged melibatkan 24 pegawai dan 297 anggota lain-lain pangkat diketuai Timbalan Komander Rejimen 511 AW Leftenan Kolonel Fua’at Mohd Yatim.

Turut hadir Ketua Staf Markas 3 Briged Lt Kol Ilyas Hanafi, Pegawai-pegawai Kanan, Ahli BAKAT di bawah naungan Briged Ketiga Infantri Malaysia dan Pesara Tentera.

Dalam ucapan, Bustaman menzahirkan  ucapan terima kasih kepada semua warga 3 Briged  yang selama ini telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada beliau dalam menjalankan tugasnya sebagai Panglima 3 Briged yang ke-34 selama tempoh 2 tahun 6 bulan.

Beliau berharap semua peringkat pegawai dan anggota terus memberikan kesetiaan dan komitmen yang tidak berbelah kepada Pemangku Panglima Tiga Briged yang baru demi kecermerlangan organisasi secara keseluruhannya.

Related Articles

Leave a Reply