LUMUT, 6 Nov – Kapal Diraja (KD) Ledang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan empat nelayan selepas bot mereka karam berhampiran Pulau Jarak semalam.
Menurut laporan Sinar Harian Online, TLDM dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa diselamatkan jam 6.30 petang semalam selepas ditemui berlindung di Pulau Jarak.
“KD Ledang yang sedang melaksanakan Operasi Pejarak telah menerima maklumat daripada Pasukan Tentera Darat yang bertugas di Pulau Jarak bahawa bot yang dinaiki oleh nelayan dipercayai warga Indonesia telah mengalami kerosakan di sekitar Utara Perairan Selat Melaka dan hanyut ke Perairan Pulau Jarak.
“TLDM, melalui Pusat Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat telah mengarahkan KD Ledang untuk melaksanakan misi bantuan menyelamat mangsa bot karam tersebut,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Jelasnya, semua mangsa berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada Kapal Tempur CB90 untuk dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut.
Menurut kenyataan itu, mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis pada jam 12.40 malam tadi untuk tindakan lanjut.