Home Politik Malaysia baru bukan milik HARAPAN saja – Syahredzan johan

Malaysia baru bukan milik HARAPAN saja – Syahredzan johan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jul – Peguam Syahredzan Johan mengulangi peringatan bahawa Malaysia yang lahir selepas pilihan raya umum ke-14 lalu bukan milik eksklusif Pakatan Harapan (HARAPAN) yang kini mengambil alih kerajaan pusat.

Syahredzan menggesa agar semua rakyat diberi peluang untuk membantu membina semula negara.

“Mereka yang benar-benar mahu menyumbang kepada negara mesti diberi peluang untuk berbuat demikian, tidak kira agama, kepercayaan, ras, identiti seks, warna kulit mahupun haluan politik mereka.

“Tidak patut ada diskriminasi atau halangan ke atas mana-mana individu yang mempunyai kebolehan dan keupayaan daripada berkhidmat untuk Malaysia hanya atas sebab-sebab ini.

“Malaysia baru bukan dimiliki oleh penyokong HARAPAN sahaja; setiap anak Malaysia ini yang cinta akan negara mesti dibenarkan untuk membina semula ibu pertiwi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian sebagai merujuk kenyataan anggota parlimen DAP Lim Kit Siang dan anggota Ketua Pemuda HARAPAN Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini.

Kedua-dua anggota parlimen HARAPAN itu melalui kenyataan berasingan mengingatkan kerajaan persekutuan untuk tidak dilihat sebagai ‘membalas dendam’ ke atas pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua Syarikat Milik Kerajaan (GLCs).

“Saya menyokong sepenuhnya apa yang mereka nyatakan. Tidak dinafikan bahawa ramai yang telah bersubahat dengan kebobrokan pentadbiran Barisan Nasional yang terdahulu, sama ada di dalam Kerajaan atau dalam GLC.

“Mereka wajar digugurkan atau ditukarkan daripada jawatan-jawatan mereka. Tidak kurang juga mereka yang bersikap oportunis, yang dahulunya beriya-iya menyokong BN, tetapi kini menghimpit HARAPAN pula. Kerajaan mesti berwaspada dengan golongan ini,” katanya.

Namun, tambah Syahredzan, pada masa yang sama, ramai di kalangan mereka yang tidak sehaluan dengan HARAPAN sebelum ini tetap melaksanakan tanggungjawab mereka dalam perkhidmatan awam atau GLC dengan jujur dan amanah.

“Kerajaan wajib memastikan bahawa ia tidak dilihat sebagai melancarkan ‘witch hunt’ ke atas pegawai-pegawai Kerajaan dan ketua-ketua GLC yang tidak sehaluan dengan HARAPAN,” katanya.

Selepas mengalahkan BN dan mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, HARAPAN melaksanakan pelbagai rombakan di dalam agensi dan jabatan kerajaan yang turut menyaksikan peletakkan jawatan beberapa peneraju GLC.

Yang terakhir, Tan Sri Abdul Wahid Omar meletakkan jawatan sebagai pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan digantikan dengan bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Related Articles

Leave a Reply