Menurut sumber, akaun tersebut melibatkan syarikat, pertubuhan bu­kan kerajaan (NGO), parti politik, yayasan dan individu yang didapati mempunyai kaitan dengan 1MDB.

“Mana-mana akaun yang didapati menerima dana daripada 1MDB akan dibekukan supaya siasatan dapat dijalankan,” kata sumber itu di sini semalam.

Kelmarin, Presiden UMNO baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menjalankan tugas-tugas Pre­siden UMNO, mengumumkan akaun UMNO Pusat dan Selangor telah dibekukan oleh SPRM dipercayai bertujuan bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh agensi itu.

Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan, pembekuan akaun UMNO dikaitkan dengan wang sebanyak RM600 juta yang dikatakan telah didepositkan ke dalam akaun parti tersebut beberapa tahun lalu.

Memetik sumber laporan ter­sebut, pasukan penyiasat sedang mengumpul bukti untuk me­ngaitkan wang tersebut datang daripada 1MDB dan siasatan juga adalah bagi memastikan nilai wang yang masih ada dalam akaun berkenaan.

Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB dalam satu kenya­taan mengesahkan membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi terma­suk UMNO.

Turut dibekukan ialah akaun parti-parti politik lain yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB serta akaun milik persatuan serta syarikat yang juga terlibat dalam siasatan kes tersebut.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dianggotai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador.