Home Semasa Malaysia pelajari cara Singapura urus warga asing

Malaysia pelajari cara Singapura urus warga asing

by M.Daim

PUTRAJAYA, 10 Jun –  Kementerian Sumber Manusia akan menganalisis konsep diamalkan kerajaan Singapura dalam pengurusan pekerja asing di negara itu, kata menterinya M Kula Segaran.

Beliau berkata ini kerana republik itu mencatatkan jumlah kes pekerja asing lari daripada majikan yang sangat rendah.

“Kita tidak perlu pergi jauh-jauh seperti ke Switzerland, contoh terbaik seperti di Singapura, pengurusan sumber manusia mereka sangat efisien dan kes-kes pekerja lari daripada majikan juga sangat terpencil,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Beliau juga berkata permohonan kemasukan pekerja asing ke negara ini akan lebih diteliti dan diperhalusi terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan bekerja ke negara ini, bagi menjaga kepentingan pekerja tempatan.

“Kebanjiran tenaga pekerja asing yang diberi gaji rendah akan menyebabkan berlaku persaingan yang mana pekerja tempatan akan turut menerima nasib sama,” katanya.

“Ini bukan bermaksud kita halang mereka datang bekerja di sini, memang digalakkan tetapi mereka lebih sesuai ditempatkan seperti di sektor perladangan atau perindustrian. Sektor-sektor lain biarlah orang kita (pekerja tempatan) yang bekerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran menyeru orang ramai membuat aduan secara dalam talian atau panggilan telefon kepada kementeriannya atau Kementerian Dalam Negeri sekiranya mereka mengetahui terdapat warga asing terlibat dalam perniagaan seperti sektor peruncitan.

Katanya penguatkuasaan lebih serius dan aktif akan dilaksanakan kerana kementerian mendapati terdapat sesetengah kawasan perniagaan didominasi warga asing.

“Keutamaan berniaga harus diberi kepada rakyat tempatan bukan warga asing. Kita perlu betulkan ini. Kalau mereka nak berniaga buat di negara sendiri, di sini mereka hanya dibenarkan bekerja,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply