Home PolitikBarisan Nasional Sokongan BN makin kukuh di Terengganu – Tengku Putera

Sokongan BN makin kukuh di Terengganu – Tengku Putera

by Nurulhuda

KUALA BERANG, 8 Mei – Kurang daripada 24 jam hari pengundian, momentum sokongan Barisan Nasional (BN) di Hulu Terengganu dilihat lebih mendominasi berbanding dua parti lawan berdasarkan sambutan yang diberikan masyarakat ketika tempoh berkempen.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata berdasarkan gerak kerja yang telah dilaksanakan secara teratur sejak sekian lama, sokongan orang muda juga dilihat lebih memihak kepada parti itu.

“Dalam tempoh dua hari ni pun, kita nampak sokongan daripada orang lama (orang tua) dan orang muda tidak merosot, malah makin bertambah apabila pelbagai program kempen yang kita buat mendapat sambutan hebat.

“Yang tinggal hanya pengundi luar, tetapi kita turut mengadakan pelbagai program untuk mendekati mereka. Insya-Allah, saya yakin BN akan terus mendapat tempat di hati rakyat,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menyantuni warga emas di Kampung Langgar di sini hari ini.

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kali ini bakal menyaksikan Tengku Putera dicabar bekas anggota DUN Kuala Berang pada 1999 iaitu Dr Mamad Puteh (PAS) dan bekas anggota Parlimen Hulu Terengganu Mohd Nor Othman (PKR).

Mohd Nor merupakan bekas wakil rakyat BN kerusi Parlimen itu yang kini beralih bertanding atas tiket PKR.

Mengulas mengenai dua pencabarnya Tengku Putera berkata rakyat boleh menilai sendiri rekod perkhidmatan dan pembangunan yang disumbangkan BN atau pembangkang.

Seorang penduduk Kampung Langgar, Jusoh Abdullah, 80, berkata beliau berharap BN akan terus kekal memerintah di kawasan itu kerana BN telah membawa pelbagai pembangunan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menyaksikan BN berjaya menawan kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan tiga kerusi DUN dibawahnya iaitu DUN Kuala Berang, Ajil dan Telemong manakala DUN Manir dimenangi PAS.

Berdasarkan rekod daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), seramai 73,487 pengundi di Parlimen Hulu Terengganu layak mengundi pada PRU14.

Related Articles

Leave a Reply