Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM tempatkan Tim Nukleus, Markas Wilayah Laut 4 dalam perancangan

TLDM tempatkan Tim Nukleus, Markas Wilayah Laut 4 dalam perancangan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 April – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin hari ini berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menempatkan satu Tim Nukleus di Pelabuhan Bintulu, Sarawak.

Penempatan ini adalah tindakan awal rancangan pembinaan pangkalan Markas Wilayah Laut 4 di negeri itu.

Menurut beliau, TLDM hanya menempatkan markas sementara di kompleks Lembaga  Pelabuhan Bintulu sebagai tempat beroperasi manakala kapal-kapal TLDM menggunakan kemudahan sedia ada di Pelabuhan Bintulu.

Beliau berkata pendekatan ini membolehkan TLDM memulakan operasi tanpa peruntukan tambahan kerajaan dan kehadiran kapal TLDM melakukan rondaan secara berkala ini akan meningkatkan keyakinan pelabur asing serta rakyat Sarawak, khasnya masyarakat setempat.

“Pelabuhan Bintulu merupakan sebuah pelabuhan strategik dengan industri gas dan minyak yang semakin pesat membangun,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Kamarulzaman berkata kedudukan Bintulu yang hampir dengan Beting Patinggi Ali di perairan Laut China Selatan juga memberi kelebihan strategik daripada aspek pertahanan maritim.

Pada 2016, Kementerian Pertahanan merancang membina sebuah pangkalan TLDM di Bintulu bagi melindungi keselamatan perairan negara serta industri minyak dan gas di Sarawak.

Cadangan itu merupakan antara beberapa perkara yang diberikan penekanan dalam teras hala tuju kementerian merangkumi aspek keselamatan, kesiapsiagaan dan kebajikan melalui perancangan yang dibuat untuk negeri ini.

 

Related Articles

Leave a Reply