Home PolitikPakatan Harapan 13 kerusi terjejas, 13 untungkan Pakatan Harapan – Rafizi

13 kerusi terjejas, 13 untungkan Pakatan Harapan – Rafizi

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 1 Apr – Pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli mendakwa persempadanan semula yang diluluskan Dewan Rakyat memberi kesan kepada 26 Parlimen milik Pakatan Harapan (Harapan).

Beliau berkata, berdasarkan analisis dijalankan, ia terjejas kerana berlaku pindahan undi Melayu dan bukan Melayu.

“Antara 13 kerusi tersebut adalah Sungai Buloh yang mengalami perubahan pengundi Melayu dengan jumlah 15.4 peratus dan perubahan pengundi bukan Melayu dengan gabungan perubahan pengundi Cina dan India dengan pemberat 80 peratus kepada pengundi Cina iaitu kira-kira 12.2 peratus.

“Begitu juga dengan Shah Alam dengan perubahan pengundi Melayu berjumlah 3.3 peratus berbanding pengundi bukan Melayu sebanyak 2.5 peratus,” katanya.

Jelasnya, daripada 13 kerusi Parlimen yang terkesan akibat persempadanan semula, hanya Shah Alam, Bukit Gantang dan Tanjong Piai yang bertukar dari menang tipis kepada kalah tipis.

“Semua kerusi yang lain mengalami penurunan margin kemenangan (berdasarkan angka sokongan terkini) tetapi tidak mengubah keupayaan untuk menang secara drastik. Berdasarkan analisis sokongan terkini menunjukkan sokongan Melayu Harapan makin meningkat, Invoke masih mengekalkan unjuran kerusi Parlimen yang dibentangkan pada 9 Mac 2018 (89 kerusi kepada Harapan, 76 BN, kosong bagi Pas di Semenanjung,” katanya.

Namun begitu beliau berkata, terdapat 13 Parlimen yang menguntungkan Harapan hasil daripada persempadanan semula seperti Subang, Berus, Klang, Bukit Bintang, Ampang dan Puchong.

“Ambil contoh di Subang perubahan pengundi Melayu adalah 12.7 peratus dan perubahan pengundi bukan Melayu pula 12.9 peratus,” katanya.

Rafizi turut mempersoalkan adakah BN boleh menang dengan hanya melalui persempadanan semula.

“Pertambahan pengundi akibat pendaftaran baharu yang mengimbangi kesan persempadanan semula. Perubahan undi Melayu dan Harapan tidak begitu jauh.

“Dalam keadaan undi Melayu antara BN dan Harapan tidak begitu jauh, sokongan padu dari pengundi bukan Melayu kepada Harapan masih memberi kelebihan di negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah,” katanya.

Menurutnya, kaji selidik dijalankan mengenai tahap sokongan Melayu di Selangor menerusi telefon, temu ramah dengan operator pada 26 dan 27 Mac melibatkan lebih 1,500 pengundi berdaftar berpihak kepada Harapan.

Related Articles

Leave a Reply