Home Politik Wacana Sinar Harian: Sikap mensabotaj ahli akademik dikesali dan terus diselar

Wacana Sinar Harian: Sikap mensabotaj ahli akademik dikesali dan terus diselar

by M.Daim

Kuala Lumpur, 24 Mac – Walaupun menerima tekanan dari penyokong Tun Dr Mahathir, Dr Kamarul Zaman Yusoff mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan, pandangan dan teguran.

Dr Kamarul turut meluahkan rasa hairan beliau kerana video ‘troll’ terhadap beliau menjadi bahan jenaka walaupun dalam video tersebut menunjukkan beliau masih terus berhujah walaupun Tun Mahathir dan isteri hadir.

Jelas beliau, walaupun dikritik beliau tetap mengamalkan sikap terbuka dan memperakui kelemahan aspek penyampaian lisan beliau.

Dr Kamarul turut menyatakan bahawa beliau sendiri memaklumkan terlebih dahulu mengenai kekurangpetahan dirinya dalam berpidato bagi mengelakkan kehampaan pihak penganjur dan penonton. Tambah beliau, beliau hanya akan hadir jika dijemput.

Kenyataan yang dimuatnaik di laman rasmi Facebook beliau turut menyampaikan penghargaan barisan akademik yang menegur beliau.

Dr Muhaimin, Naib Pengerusi Amanah Perak menyatakan Dr Kamarul Zaman seolah-olah dipermainkan oleh pihak penganjur.

“Beliau semacam dijadikan ahli gusti WWF yang dijadikan badut untuk dimalukan,” tulisnya di laman facebook.

Beliau turut berpendapat, tindakan penganjur mengosongkan dua kerusi depan bagi memberi ruang kepada Tun M dan isteri adalah satu perancangan yang tidak kemas dan mudah dihidu.

“Walaupun saya banyak tidak sependapat dengan Dr Kamarul Yusoff dalam banyak perkara khususnya politik, saya bersimpati nasib beliau ‘dimainkan’ oleh pihak penganjur,” kata Dr Muhaimin.

Beliau menambah, politik media yang dimainkan oleh Sinar Harian adalah sesuatu yang mengejutkan tetapi ia suatu yang tidak wajar.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan memuji Dr Kamarul Zaman yang masih berupaya untuk menyampaikan pandangan walaupun menerima tekanan dari segenap sudut semasa berhujah. Menurut Nasruddin, hujah Dr Kamarul turut disokong dengan fakta yang kuat dan komprehensif.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman yang menyatakan hujah Dr Kamarul adalah bernas dan akademik yang perlu dinilai menerusi neraca akademik, bukan neraca emosi. Walaupu kepetahan  Dr Kamarul berbicara tidak sehebat penceramah yang hebat, tegas Datuk Dr Khairuddin, idea dan pandangan Dr Kamarul adalah bernas dan akademik.

Sementara itu, Nik Mohmad Abduh Datuk Nik Abdul Aziz menyampaikan rasa bangga dengan pandangan Dr Kamarul mengenai politik tanah air dari sudut intelektual. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut menyatakan bahawa Profesor Kamarul Zaman dilihat seolah-olah diperangkap oleh “tuan rumah” majlis.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menyatakan seseorang ahli akademik jarang menarik perhatian tetapi menyifatkan Dr Kamarul berjaya mencuri perhatian dan menyampaikan mesej.

Datuk Dr Asyraf Wajdi pula menyatakan Tun Dr Mahathir sepatutnya hadir lebih awal. Dr Asyraf turut menyatakan kebenaran akhirnya akan tertegak walaupun ramai masih dalam lamunan mimpi.

Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose menegur agar Dr Kamarul untuk lebih bertenang dan bersahaja dalam penyampaian lain pada masa akan datang. Pengerusi Majlis Professor negara turut memuji hujah Dr Kamaruk adalah baik dan mempunyai pengukuhan dari kajian.

Profesor Datuk Seri Dr Mohamad Mustafa Ishak, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia pula menegur sikap moderator forum yang kelihatan bias. Menyentuh hujah Dr Kamarul, beliau memuji hujah Dr Kamarul adalah berdasarkan fakta dan kajian yang kukuh.

Sikap moderator turut diselar oleh Ahmad Farami Abdul Karim, Felo Institut Pengajian Kewartawanan. Menurut Ahmad Farami, moderator siri wacana dilihat berhujah seperti seorang panelis dan mengambil pendekatan defensif seolah-olah mewakili parti politik. Beliau turut berpendapat, moderator tidak menunjukkan sikap berkecuali dalam banyak situasi.

Prof. Madya Dr. Shamrahayu, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Politik (SYARAK) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan Dr Kamarul adalah orang yang bertepatan dengan bidangnya. Malah, Dr Shamrahayu turut menyatakan analisis Dr Kamarul adalah padat dan penuh dengan fakta yang ramai tidak mengerti.

Dr Kamarul Yusoff dalam kenyataan yang sama menghargai segala teguran yang diterimanya dari segenap pihak.

 

Related Articles

Leave a Reply