Home Pertahanan dan Keselamatan Belia Mabul selami dunia pelayaran bersama KLD Tunas Samudera.

Belia Mabul selami dunia pelayaran bersama KLD Tunas Samudera.

by M.Daim

PULAU MABUL, 24 Mac – Kapal Layar Diraja (KLD) TUNAS SAMUDERA hari ini telah membawa 24 orang belia Kampung Mabul mengikuti pelayaran sempena program turun padang The Navy People bersama komuniti setempat. Pelayaran ini bertujuan untuk memberi pengenalan ilmu pelayaran kepada golongan belia di Pulau Mabul agar dapat mengetahui dengan lebih lanjut kerjaya dan peranan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Anak muda dari Mabul berpeluang untuk mendalami dunia pelayaran bersama KLD Tunas Samudera. Foto: TLDM.

Pegawai Memerintah KLD TUNAS SAMUDERA, Komander Saharudin bin Bongsu berkata program turun padang yang julung kali diadakan ini diharap dapat mendedahkan belia tempatan kepada pelbagai peluang kerjaya di dalam TLDM dan secara tidak langsung menarik minat mereka untuk menyertai pasukan beruniform selain berkhidmat untuk Negara. Program turun padang ini akan turut dilaksanakan di Pulau Banggi, Kudat dan Labuan.

Program pelayaran bersama komuniti tempatan ini merupakan cetusan idea Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin. KLD TUNAS SAMUDERA dilihat sebagai platform terbaik untuk tujuan ini memandangkan fokus program pelayaran kapal ini adalah kepada belia dan pelajar sekolah untuk membina jati diri dan memberi pengalaman yang unik ketika di laut.

Dalam pada itu, seramai 20 orang anak-anak kapal dan pelatih daripada unit Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) Tawau telah membuat kerja-kerja pembersihan pantai bersama penduduk tempatan Pulau Mabul yang terkenal sebagai destinasi pelancongan maritim utama negara ini.

Pelbagai bahan buangan terutamanya plastik yang menjadi punca utama pencemaran dan menjejaskan ekosistem hidupan laut. Kempen kesedaran mengenai pencemaran laut dan aktiviti pembersihan pantai kini giat dijalankan di peringkat global dan merupakan salah satu pendekatan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat betapa pentingnya melestarikan alam sekitar.

KLD TUNAS SAMUDERA merupakan Kapal Layar Latihan TLDM dan kini sedang dalam siri pelayaran ke Sabah dan Sarawak bermula 28 Februari. Kapal akan pulang ke Pangkalan TLDM Lumut pada 26 April bagi meraikan Sambutan Hari TLDM ke-84.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!