Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara TUDM siap sedia bantu mangsa banjir

TUDM siap sedia bantu mangsa banjir

by Air Times News Network

KUANTAN, 30 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersedia membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Komander Pangkalan Udara TUDM Kuantan, Brigedier Jeneral Datuk Nor Mohamad Akmar Mohammad Dom berkata, bukan kebiasaannya aset mereka akan digunakan selepas sesuatu kawasan yang terjejas banjir sudah terputus hubungan dan tidak lagi dapat diakses menggunakan jalan darat atau bot penyelamat.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau keadaan banjir menerusi satelit dan perhubungan komunikasi dari agensi yang berkaitan selain maklumat daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) negeri.

Katanya, pihaknya hanya akan menggerakkan aset serta anggotanya untuk membantu mangsa atau mengagihkan bantuan makanan jika ada permohonan daripada PKOB negeri.

“Bagi bantuan di Terengganu dan Pahang, mereka akan menerima permohonan daripada Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu sama ada mereka memerlukan bantuan pesawat mahupun anggota.

“Apabila berlakunya banjir, Pangkalan Udara Kuantan akan mengawal segala pergerakan udara di mana helikopter milik pasukan keselamatan lain seperti polis, bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) termasuk persendirian akan diletakkan di pangkalan berkenaan.

“Semua barang bantuan akan ditempatkan di sini dan agihan bantuan akan ditentukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala kita akan menghantarnya ke kawasan yang sudah dikenalpasti.

“Kita bersedia untuk menghantar bantuan pada bila-bila masa termasuk pada waktu malam namun semuanya bergantung kepada keperluan serta keutamaan sesuatu keadaan,” katanya ditemui pada majlis simulasi Ops Murni TUDM sebagai persiapan menghadapi banjir di negeri ini, di sini, hari ini.

Nor Mohamad Akmar berkata, walaupun Pahang masih belum berdepan bencana banjir namun TUDM bersedia sepenuhnya malah bilik operasi banjirnya juga sudah tersedia sejak lebih sebulan lalu.

Related Articles

Leave a Reply