SEBAGAI umat Islam, sudah semestinya mengetahui peristiwa-peristiwa besar yang terjadi dalam bulan-bulan Islam yang disebut juga kalendar Hijrah. Setiap awal Muharram, Malaysia akan mengadakan sambutan Maal Hijrah sebagai suatu program keagamaan bagi meningkatkan syiar Islam. Kegemilangan Islam dapat diserlahkan melalui kekuatan ukhuwah yang dianjurkan oleh Al-Quran dan Hadith dalam berpegang teguh dengan ajaran dan syariat Islam, menghayati konsep khalifah, menghindari sifat mazmumah yang merosakkan persaudaraan dan mengamalkan nilai-nilai murni ke arah menjalinkan hubungan silaturahim.
Mengenal Peristiwa-peristiwa Besar Dalam Bulan Muharam
Sebelum itu mari bersama kita mengenali dahulu bagaimana sejarah kalendar Hijrah tercipta.
Kalender Hijrah bermula sejak tahun 682 Masihi. Kalendar ini terbentuk setelah Amirul Mukminin, Umar bin Khathab RA mengalami masalah, iaitu untuk membezakan tahun pada surat-surat yang diutuskan oleh Amirul Mukminin yang telah diadukan oleh sahabat Abu Musa Al-Asy’ari RA, di mana ketika itu menggalas jawatan sebagai gabenor di Kota Bashrah.
Oleh itu, telah dikumpulkan para pembesar dari kalangan sahabat Rasulullah SAW dan penasihat-penasihat Amirul Mukminin untuk berunding bagi menetapkan bilakah akan bermulanya kalendar tahun dalam Islam.
Sebahagian sahabat telah mengusulkan agar ditetapkannya awal tahun Islam adalah tahun diutusnya Rasulullah SAW sebagai Nabi dan Rasul. Manakala Sebahagiannya lagi mengusulkan untuk hanya berpandukan kalendar Romawi saja, di mana telah digunapakai sejak zaman Raja Alexander. Kemudian Saidina Ali bin Abi Talib RA telah mengajukan saranannya agar tahun dimana peristiwa hijrah Baginda Nabi SAW dan para sahabatnya terjadi sebagai awal tahun untuk kalendar umat Islam.
Cadangan tersebut sependapat dengan Amirul Mukminin. Beliau mengatakan,
الهجرة فرقت بين الحق والباطل فأرخوا بها
”Peristiwa Hijrah menjadi pemisah antara yang benar dan yang batil. Jadikanlah ianya sebagai penanda aras”.
Ini menyebabkan para sahabat turut bersetuju dan sependapat dengan Saidina Ali bin Abi Talib RA ini. Kerana memahami ayat 108 dalam surat At-Taubah yang membahas tentang ‘hari pertama’ di mana amat sesuai dengan pendapat itu.
Firman Allah Taala;
لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيه َ
Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya (Surah At-Taubah, ayat 108).
Kalendar Hijrah juga dikenali sebagai Kalendar Qomariah, iaitu kalendar yang dihitung berdasarkan peredaran 12 bulan setahun yang terdiri Muharam, Safar, Rabi’ul Awal, Rabi’ul Akhir, Jumadil Awal, Jumadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulqaidah dan Zulhijjah.
Bulan Muharram termasuk satu diantara empat bulan yang dimuliakan Allah SWT selain bulan Rejab, Zulqaidah dan Zulhijjah.
Ada beberapa peristiwa besar yang terjadi pada bulan Muharram ini, yang antaranya Allah SWT menerima taubat Nabi Adam AS, Nabi Musa AS dan Bani Isra’il telah diselamatkan dari kepungan Raja Firaun bersama bala tentaranya dan Perang Khaibar.
Rasullulah SAW Sebagai Model Penyatuan Ummah
Penyatuan ummah merupakan isu yang boleh dilihat dari pelbagai dimensi. Peranannya merangkumi sistem nilai, psikologi, perasaan, sikap, pemikiran dan tingkah laku setiap individu. Faktor agama pula bertindak sebagi pencorak dalam mengaplikasikan unsur-unsur tersebut dalam kehidupan masyarakat. Penyatuan ummah amat penting bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam masyarakat. Oleh itu, Islam menyarankan supaya umatnya menghayati konsep jamaah seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Hendaklah kamu bersama jamaah, dan janganlah kamu berpecah (daripada jamaah)” (Riwayat At-Tirmizi).
Kehidupan umat yang dianjurkan oleh Islam adalah satu umat yang hidup dalam kerukunan, kesejahteraan dan damai seperti sebuah bangunan yang teguh berdiri. Ajaran Islam menghendaki umatnya bersatu padu, bermusyawarah dalam menyelesaikan segala isu yang timbul, menegakkan keadilan dan kebenaran, saling menasihati, saling tolong-menolong, saling hormat menghormati, bertimbang rasa, mengamalkan sikap bersederhana dalam apa jua tindakan, tidak melampau, saling bermaafan, mendoakan, mengeratkan hubungan silaturahim dan sebagainya. Kehidupan seperti ini pernah wujud dalam kehidupan generasi pertama dalam masa dakwah islamiah di zaman Rasullulah SAW. Sucikanlah hati-hati manusia dengan membuang sifat-sifat mazmumah dan menghiaskan diri dengan sifat-sifat mahmudah serta memperbaiki amalan dan akhlak supaya menjadi orang yang selamat di dunia dan di akhirat. Selamat Menyambut Maal Hijrah 1439H.