Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal TLDM mulakan pelayaran ke Hawaii untuk RIMPAC 2018

Kapal TLDM mulakan pelayaran ke Hawaii untuk RIMPAC 2018

by M.Daim

LUMUT, 25 Mei – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Lekiu hari ini memulakan pelayarannya ke Hawaii bagi menyertai latihan ketenteraan maritim skala besar di Amerika Syarikat, Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2018. Majlis pelepasan tali telah disempurnakan oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Her Excellency Kamala Shirin Lakhdir.

Walaupun TLDM pernah menyertai latihan tersebut sebagai pemerhati pada tahun 2006, penyertaan kali ini merupakan penyertaan pertama tentera laut secara langsung dalam RIMPAC 2018 . Dalam latihan besar-besaran ini, TLDM melalui KD Lekiu akan mewakili negara bersama 27 buah negara lain dalam latihan ini.

RIMPAC 2018 merupakan salah satu siri latihan ketenteraan maritim berskala besar yang diadakan secara dwi-tahunan. Latihan ini kali pertama diadakan pada tahun 1971. Latihan ini bakal melibatkan 52 buah kapal daripada pelbagai negara, 5 buah kapal selam, 19 angkatan tentera darat, 29 pesawat rondaan maritim, 200 pesawat pejuang dan helikopter serta 25,000 anggota. KD Lekiu pula dianggotai seramai 25 pegawai dan 150 anggota.

Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Seri Mohamad Roslan Mohamad Ramli berkata penglibatan TLDM dalam eksesais yang dilaksanakan oleh US Navy itu bakal memberi manfaat dalam pelbagai aspek termasuk memperkasakan strategi ketenteraan serta kesiapsiagaan anggota dan aset TLDM.

“Ini merupakan sejarah penglibatan TLDM dalam eksesais bertaraf dunia dan berprestij, selain bakal menjadi platform terbaik untuk menguji ketahanan dan kesiapsagaan aset TDLM.”

“Ini termasuk dari segi pengurusan sumber manusia dan logistik selain menambah ilmu dalam pelbagai aspek sama ada mental dan fizikal,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Tali KD Lekiu ke RIMPAC 2018 serta Fleet Review bersempena Pengunduran Panglima Armada Barat di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Fasa Latihan RIMPAC 2018

Latihan multilateral RIMPAC 2018 adalah terbahagi kepada 3 fasa utama iaitu:

Fasa Pelabuhan akan bermula pada 27 Jun sehingga 8 Julai di mana aktiviti pengukuhan diplomasi pertahanan seperti simposium, majlis resepsi, lawatan kapal serta perbincangan antara pegawai-pegawai operasi.

Fasa Latihan di Laut pula akan bermula pada 9 Julai sehingga 30 Julai adalah fasa terakhir dalam eksesais ini dan bakal menyaksikan setiap negara peserta akan melaksanakan eksesais secara menyeluruh dan mempraktikkan
latihan-latihan meliputi peperangan anti udara, peperangan permukaan (ASuW), peperangan kapal selam (ASW), penggeledahan dan memaksimumkan penggunaan Rules Of Engagement (ROE).

Fasa Penutup akan terlaksana pada 31 Julai sehingga 2 Ogos 18. KD Lekiu seterusnya akan berlayar pulang ke Lumut dan dijangka tiba di tanah air pada 31 Ogos 2018.

Related Articles

Leave a Reply