KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste, menjadikan kunjungan pertama seorang Perdana Menteri Malaysia ke negara itu sejak 22 tahun lalu.
Lawatan ini dilihat memperkukuh hubungan dua hala sambil menzahirkan sokongan Malaysia terhadap aspirasi Dili untuk menjadi anggota ke-11 ASEAN.
“Lawatan rasmi ini penting untuk mengeratkan hubungan dua hala dan menyokong kesediaan Timor-Leste sebagai bakal ahli ke-11 ASEAN. Semoga segala susunan dan agenda yang dirancang dipermudahkan dan membawa manfaat kepada kedua-dua negara,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.
Selain itu, aspek pertahanan dan pembangunan kapasiti sumber manusia menjadi antara fokus utama. Anwar dijadual bertemu alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP).
Sejak tahun 2000, lebih 1,100 pegawai Timor-Leste telah menerima manfaat daripada MTCP, termasuk lebih 500 orang dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, sebagai persediaan menghadapi keanggotaan ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas daripada Pangkalan Udara TUDM Subang untuk memulakan lawatan rasmi ke Republik Demokratik Timor Leste. (FOTO: FB ANWAR IBRAHIM)
Mengulas lanjut, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Anwar dan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão akan menyaksikan pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan institusi kewangan Malaysia dan Timor-Leste.
MoU pertama antara Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Banco Central de Timor-Leste (BCTL) memberi tumpuan kepada kerjasama pembangunan profesional dan kapasiti dalam sektor kewangan.
Manakala, MoU dimeterai antara Asian Institute of Insurance (AII) dan BCTL adalah bagi meningkatkan kualiti pendidikan serta pembangunan profesional bidang insurans.
Sebagai simbol penghargaan, Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta akan menganugerahkan “Grand Collar of the Order of Timor-Leste” kepada Anwar, iaitu anugerah sivil tertinggi negara itu, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala dan serantau.
Sementara itu, dari segi ekonomi, jumlah perdagangan dua hala Malaysia–Timor-Leste pada 2024 mencatatkan US$18.72 juta (RM85.68 juta).
Eksport Malaysia berjumlah US$18.37 juta (RM84.06 juta), manakala import produk dari negara berkenaan bernilai US$0.35 juta (RM1.62 juta). Sekitar 250 syarikat Malaysia kini beroperasi di Timor-Leste dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan perdagangan.
Malah, sejak 16 Ogos lalu, rakyat Malaysia diberi kemudahan bebas visa yang membolehkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Timor-Leste tanpa sekatan, sejajar semangat integrasi ASEAN.
Timor-Leste memohon menyertai ASEAN sejak 2011. Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, pemimpin serantau bersetuju menerima negara itu sebagai anggota ke-11 menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan.
#airtimes #ASEAN #TimorLeste #Malaysia #AnwarIbrahim #diplomasi
