KUALA LUMPUR, 30 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 1,870 kes baharu wabak pandemik COVID-19 direkodkan pada hari ini dan buat julung kalinya Johor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 607 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, daripada jumlah tersebut, sebanyak 578 kes adalah daripada kluster-kluster serta saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif yang dijalankan di lapangan.
Beliau berkata, peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes.
“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat 2 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,868 kes,
“Selain Johor, Selangor mencatatkan sebanyak 472 kes dan Sabah sebanyak 280 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 402 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh (374 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (8 kes), Kluster Pagar Bentong (6 kes), Kluster Tembok Mempaga (4 kes), Kluster Tembok (4 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Tembok Gajah (2 kes), dan Kluster Hala Mutiara (1 kes).
Sehingga kini, terdapat 131 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 62 kes memerlukan bantuan pernafasan, manakala 6 kes kematian dilaporkan pada Rabu.
“Kes kematian melibatkan 5 pesakit lelaki dan seorang pesakit wanita yang berumur antara 45 tahun sehingga 69 tahun,
“Daripada 6 kes kematian, 5 pesakit mempunyai latar belakang penyakit kronik,” tambahnya.
Manakala, sebanyak 745 kes telah disahkan pulih wabak berkenaan dan dibenarkan pulang.
Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 8 kluster baharu dikesan pada hari ini melibatkan negeri Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Pahang.
Sehingga hari ini, seramai 87,460 kes pesakit COVID-19 di negara telah pulih sepenuhnya, manakala angka kematian meningkat kepada 463 kes. – airtimes.my