KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Bekas Ketua Polis Negara kelima, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor pada Jumaat mengesahkan pelantikannya sebagai fasilitator baharu dalam rundingan damai wilayah selatan Thailand.
Abdul Rahim, 75, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang sebelum ini dilantik kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional untuk menjadi fasilitator rundingan damai tersebut antara MARA Patani dan kerajaan Thailand.
Ketika dihubungi Bernama, Abdul Rahim, bekas Ketua Polis Negara kelima yang berkhidmat dari 1994 hingga 1999 itu berkata beliau telah menerima surat pelantikan untuk menggalas tugas itu baru-baru ini namun enggan mendedahkan tarikh pelantikannya.
“Ya betul. Saya telah terima surat pelantikan. Saya akan ke Bukit Aman hari ini untuk menguruskan segala urusan yang berkaitan,” katanya yang terkejut menerima pelantikan tersebut namun berbesar hati untuk mencurahkan pengalamannya dalam rundingan aman tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata tugas baharunya itu disifatkan sebagai mencabar kerana membabitkan isu-isu pertelingkahan yang sudah lama namun belum mencapai sesuatu persetujuan yang konkrit.
Justeru, bekas pengarah cawangan khas Bukit Aman itu akan menggunakan pengalamannya membabitkan pengendalian keselamatan di sempadan negara.
“Isu-isu di perbatasan kita khasnya di Thailand ini membabitkan pengawasan cawangan khas selain tentera dan polis khususnya berkaitan risikan.
“Jadi saya rasa, pengalaman dan pengetahuan saya mengenai isu-isu di sempadan ini sesuai dengan tugasn baharu ini,” katanya.
Abdul Rahim juga mengharapkan kerjasama dan komitmen kesemua pihak terlibat dalam menjayakan pelan perdamaian tersebut.
MARA Patani adalah sebuah badan yang mewakili beberapa kumpulan militan di wilayah selatan Thailand.
Kuala Lumpur telah beberapa kali menghoskan rundingan damai antara wakil kerajaan Thailand dan MARA Patani untuk mencari resolusi bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand yang telah mengorbankan lebih 7,000 orang sejak tercetus pada 2004.
MARA Patani ditubuhkan pada 25 Okt 2014 oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang membuka peluang kepada organisasi bukan militan Patani untuk menyertainya.
Ia adalah gabungan enam kumpulan militan yang terdiri daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga pihak dalam Patani Liberation Organisation (Pulo), Gerakan Mujahideen Islam Patani dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP). – Bernama