PUTRAJAYA, 15 Apr – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memaklumkan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.
Menteri Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Jidin berkata, tarikh peperiksaan Semester 2 untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga diubah kepada bulan Ogos 2020.
“Manakala untuk peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021,
“Menyedari bahawa penundaan tarikh peperiksaan ini akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021, manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya lagi, mengenai keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan hanya akan dibuat apabila KPM benar-benar yakin keadaan telah Kembali pulih daripada wabak pandemik COVID-19.
“Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM, STAM dan peperiksaan antarabangsa yang setara,
“Apabila sekolahn dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakkan sosial akan diberi keutamaan,” ujarnya.
Beliau juga berkata, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar serta Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat.
KPM juga menegaskan bahawa pembukaan semua sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid,” ujarnya. – Airtimes