Bayangkan sebuah jet pejuang canggih musuh terhempas di kawasan operasi yang terpencil. Rangka pesawat tersebut bukanlah sekadar sisa besi buruk di medan pertempuran moden. Ia sebenarnya sebuah gedung rahsia sains yang sangat bernilai tinggi.
Bermula dengan sebutir skru, susunan litar mikrocip, sehingga kepada teknik kimpalan pada rangka pesawat itu mampu menjadi punca kepada pendedahan rahsia teknologi yang dibangunkan selama berdekad-dekad hanya dalam tempoh beberapa bulan. Inilah realiti kejuruteraan balikan (reverse engineering) yang mengubah landskap pertahanan masa kini.
Kejuruteraan balikan (reverse engineering) merupakan satu proses sistematik untuk memahami reka bentuk, fungsi, dan operasi sesuatu objek fizikal melalui analisis yang mendalam terhadap objek tersebut.
Dalam konteks ketenteraan, amalan ini bukan sekadar aktiviti meniru, tetapi merupakan satu strategi pintas bagi merapatkan jurang teknologi antara sesebuah negara dengan negara lain tanpa perlu melalui fasa penyelidikan yang panjang.
Dunia pertahanan hari ini menyaksikan bagaimana aset yang ditawan atau ditemui di medan perang menjadi kunci kepada lonjakan inovasi domestik bagi sesetengah negara.
Dari medan perang ke makmal rahsia
Dalam sejarah peperangan, teknologi ketenteraan musuh sering dianggap lebih bernilai daripada kemenangan taktikal semata-mata. Dengan memiliki teknologi tersebut, sesebuah negara boleh menghasilkan teknologi serupa tanpa perlu melaburkan usaha penyelidikan dari awal.
Kejuruteraan berbalik bukanlah suatu fenomena baharu, malah ia telah dipraktikkan sejak Era Perang Dunia Kedua lagi.
Semasa era perang tersebut, pendaratan cemas beberapa pesawat pengebom B-29 Superfortress milik Amerika Syarikat di wilayah Kesatuan Soviet telah membuka ruang strategik buat Moscow. Soviet tidak mensia-siakan peluang keemasan ini untuk melakukan penelitian mendalam terhadap teknologi pesawat berkenaan.
Hasil daripada peristiwa tersebut, Soviet berjaya menghasilkan Tupolev Tu-4, iaitu pesawat yang hampir menyerupai B-29 secara keseluruhan. Selain itu, Soviet bukan sahaja menyalin reka bentuk luaran, malah turut meniru sistem dalaman, kedudukan rivet dan susun atur komponen secara terperinci.
Peristiwa ini membuktikan bahawa kejuruteraan balikan mampu mempercepat pembangunan ketenteraan sesebuah negara dalam tempoh yang jauh lebih singkat.

Tupolev Tu-4 bukan sekadar pengebom strategik Soviet, tetapi simbol bagaimana kejuruteraan balikan mampu mengubah keseimbangan kuasa dunia. Foto Hiasan: Reddit
Pada masa kini, pendekatan yang sama masih digunakan, tetapi dalam skala yang jauh lebih kompleks. Jika dahulu sasaran utama hanyalah enjin dan kerangka logam, kini fokus telah beralih kepada radar, teknologi siluman (stealth), sensor elektronik, algoritma kecerdasan buatan dan sistem peperangan rangkaian.
Perlumbaan teknologi ketenteraan moden
Peperangan moden telah membuka ruang besar kepada aktiviti kejuruteraan balikan, khususnya melibatkan dron, radar dan peluru berpandu. Walaupun sesebuah aset itu mengalami kerosakan pada komponennya, ia masih boleh memberikan maklumat penting tentang tahap teknologi, kaedah navigasi, sensor, sistem panduan dan kemampuan sebenar aset tersebut.
Situasi ini dapat dilihat menerusi peristiwa dron siluman RQ-170 Sentinel milik Amerika Syarikat yang didakwa berjaya diperoleh Iran pada tahun 2011.
Walaupun terdapat pertikaian mengenai keadaan sebenar dron itu ketika jatuh ke tangan Tehran, insiden tersebut tetap menarik perhatian dunia pertahanan kerana ia melibatkan salah satu platform peninjauan paling canggih milik Amerika Syarikat pada ketika itu.
Beberapa tahun kemudian, Iran mula memperkenalkan dron baharu Shahed 171 yang mempunyai reka bentuk menyerupai RQ-170, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa teknologi tersebut telah dianalisis melalui proses kejuruteraan balikan.
Bagi negara yang berdepan sekatan antarabangsa atau embargo pertahanan, kejuruteraan balikan sering menjadi pilihan paling praktikal untuk membangunkan keupayaan tempatan tanpa terlalu bergantung kepada pembelian luar.
Atas sebab itu, banyak negara kini mempunyai unit khas yang dianggotai saintis, jurutera elektronik, pakar bahan komposit dan penganalisis perisikan teknikal bagi meneliti setiap aset asing yang berjaya diperoleh.
Tidak semudah menyalin rupa bentuk
Walaupun sering dianggap sebagai “aktiviti meniru”, realitinya kejuruteraan balikan jauh lebih rumit daripada sekadar menghasilkan salinan fizikal.
Cabaran sebenar terletak pada usaha memahami teknologi tersembunyi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Begitu juga dengan pesawat pejuang generasi kelima yang sangat bergantung pada integrasi data sensor, bahan penyerap radar dan sistem peperangan elektronik yang kompleks.

Shahed 171 Simorgh menjadi antara contoh paling terkenal bagaimana kejuruteraan balikan mampu mengubah teknologi musuh menjadi aset strategik sendiri. Foto Hiasan: Reddit
Sebab itu, banyak negara berjaya menghasilkan aset yang kelihatan hampir sama dengan teknologi asal, tetapi gagal mencapai tahap prestasi sebenar.
Namun begitu, terdapat juga beberapa aset yang berjaya dibangunkan sehingga mampu menandingi teknologi asal hampir sepenuhnya. Situasi ini menunjukkan bahawa kejuruteraan balikan berpotensi memberikan kelebihan besar kepada negara yang mampu memahami, menyesuaikan dan memanfaatkan proses tersebut secara berkesan.
Perisikan teknologi kini menjadi senjata strategik
Dalam era persaingan kuasa besar hari ini, pencurian teknologi pertahanan tidak lagi bergantung kepada operasi risikan tradisional semata-mata. Sebaliknya, ia turut melibatkan serangan siber, pengintipan industri, penggodaman data pertahanan dan pencurian reka bentuk digital.
Banyak laporan antarabangsa sebelum ini mendedahkan bagaimana data berkaitan pesawat pejuang, sistem misil dan teknologi radar menjadi sasaran utama penggodam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan negara tertentu.
Ini kerana dalam dunia pertahanan moden, maklumat teknikal mempunyai nilai strategik yang sangat tinggi.
Sesebuah negara mungkin mengambil masa puluhan tahun dan menelan belanja berbilion dolar untuk membangunkan teknologi baharu. Namun melalui kejuruteraan balikan dan pengintipan teknologi, proses itu boleh dipendekkan dengan ketara.
Masa depan peperangan: Siapa paling pantas belajar
Hakikatnya, peperangan moden hari ini bukan lagi sekadar pertempuran antara peluru dan misil.
Ia kini menjadi perlumbaan untuk melihat siapa yang paling pantas memahami teknologi lawan, menyesuaikannya dan menghasilkan versi sendiri dalam tempoh singkat. Dalam masa sama, pemahaman terhadap teknologi musuh turut memberikan kelebihan strategik yang besar kepada sesebuah negara.
Dengan memahami cara sesuatu sistem beroperasi, sesebuah negara bukan sahaja mampu membangunkan aset sendiri, malah berupaya mengenal pasti kelemahan teknologi tersebut bagi menghasilkan kaedah pemintasan, gangguan elektronik dan sistem pertahanan yang lebih berkesan.
Dalam dunia yang semakin dipenuhi dron autonomi, kecerdasan buatan dan sistem persenjataan pintar, kejuruteraan balikan dijangka terus memainkan peranan besar dalam menentukan keseimbangan kuasa global.
Kerana dalam peperangan abad ke-21, kemenangan bukan hanya berpihak kepada negara yang memiliki teknologi paling canggih. Sebaliknya, ia mungkin menjadi milik pihak yang paling cepat membongkar rahsia teknologi tersebut.-airtimes.my


