Home Semasa AS sekat syarikat Malaysia terlibat dalam program dron kamikaze Iran

AS sekat syarikat Malaysia terlibat dalam program dron kamikaze Iran

by M.Daim

WASHINGTON, 21 DIS – Amerika Syarikat (AS) telah mengenakan sekatan terhadap beberapa syarikat di negara ini yang telah dikesan mempunyai penglibatan dengan program dron kamikaze Iran.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan yang menjelaskan program tersebut adalah melibatkan pengeluaran dron Shahed.

Menurutnya, sekatan yang dikenakan terhadap syarikat-syarikat tersebut adalah sebahagian daripada 10 entiti dan 4 individu yang berpangkalan di Iran, Malaysia, Hong Kong serta Indonesia.

“Ia melibatkan rangkaian yang diketuai oleh Hossein Hatefi Ardakani di Iran,

“Mereka telah melakukan pembelian komponen-komponen sensitif, termasuk yang dikeluarkan oleh AS,

“Pembelian ini adalah untuk memenuhi program dron serangan yang dihasilkan oleh Islamic Revolutionary Guard Corps Aerospace Force Self Sufficiency Jihad Organization (IRGC ASF SSJO),” kata kenyataan yang dikeluarkan pada 19 Disember.

Teknologi dron Iran memberikan impak tersendiri terhadap beberapa konflik di serata dunia.

Sementara itu, Jabatan Perbendaharaan AS mengeluarkan senarai syarikat Malaysia yang terlibat iaitu Skyline Advanced Technologies Sdn Bhd, Arta Wave Sdn Bhd dan Nava Hobbies Sdn Bhd.

Senarai sekatan tersebut turut melibatkan syarikat Integrated Scientific Microwave Technology Sdn Bhd (ISM Tech) yang berpangkalan di Malaysia dan Hong Kong.

Jelas kenyataan itu, kesemua syarikat tersebut terlibat dalam pembelian servomotors, penganalisis spektrum (spectrum analyzers), antena, unit ukuran inersia, motor, dan pam bahan api.

“Skyline, Dirac, ISM Tech, Arta Wave, dan Nava Hobbies dikenalpasti telah atau cuba membekalkan, pemberian kewangan, peralatan, teknologi serta sokongan kepada Ardakani,” katanya.

Tinjauan Air Times di laman web rasmi Skyline Advanced Technologies mendapati syarikat tersebut menawarkan khidmat rekaan, pembangunan dan pengeluaran beberapa sistem termasuk radar, satelit serta telekomunikasi.

Selain itu, syarikat ini menyatakan mereka mempunyai kerjasama dengan universiti tempatan dan pembekal telekomunikasi satelit tanah air.

Selain itu, sebuah syarikat di Surabaya, Indonesia, Surabaya Hobby terlibat dalam aktiviti yang sama.

Shahed 136 dan Shahed 131 amat dikenali umum kerana penggunaannya di Ukraine.

AS sebelum ini telah mengenakan sekatan terhadap beberapa individu dan entiti di China, Turkiye, dan UAE pada September lalu.

Shahed merupakan siri dron yang dikeluarkan oleh Iran melalui syarikat pertahanan mereka, Iran Aircraft Manufacturing Industrial Company (HESA). Siri Shahed amat dikenali di peringkat global terutamanya penggunaan Shahed-131 dan Shahed-136 oleh Rusia di Ukraine.

Pun begitu, siri UAV ini turut merangkumi pesawat tanpa pemandu untuk tempur (UCAV) Shahed 129, Shahed 149, Shahed 171 dan Shahed 191– airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Iran #AS #Shahed

Related Articles

Leave a Reply