KUALA LUMPUR, 9 JUN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka menerima kapal kedua Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS) Batch 2 pada akhir 2027.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembinaan kapal berkenaan berjalan mengikut jadual sejak perjanjian projek itu dimeterai pada 2024.
“Kemajuan pembinaan kapal-kapal itu mengikut jadual. Pada hari Ahad lepas, kapal kedua LMS kita telah pun dilancar, diluncurkan dan diberikan nama,” katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM 2026 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, TLDM dijangka menerima kapal kedua itu pada akhir 2027. Beliau turut memaklumkan semua tiga kapal LMS Batch 2 berada pada landasan pelaksanaan yang ditetapkan.
“Kita menjangkakan kapal ini akan diserahkan kepada tentera laut kita pada akhir tahun hadapan.
“Oktober yang pertama, November kedua, Disember ketiga, semua berjalan dengan baik,” katanya ketika ditanya mengenai anggaran pentauliahan kapal berkenaan.
Menurut maklumat rasmi syarikat pembina, STM, kapal pertama LMS Batch 2 dinamakan Tunku Laksamana Abdul Jalil dengan nombor lambung 141. Kapal itu dilancarkan pada 24 Mei 2026.
Kapal kedua pula dinamakan Raja Laut dengan nombor lambung 142. Kapal berkenaan dilancarkan pada 7 Jun 2026, manakala kapal ketiga dijadual dilancarkan pada Ogos 2026.
STM merupakan kontraktor utama bagi pembinaan tiga kapal LMS untuk TLDM. Projek itu menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan armada permukaan TLDM.
Menurut STM, kapal LMS Batch 2 direka dengan keupayaan peperangan udara, permukaan serta elektronik. Platform itu turut dilengkapi dek helikopter, hangar serta sistem persenjataan bersepadu.
Perolehan kapal berkenaan penting bagi meningkatkan keupayaan TLDM melaksanakan rondaan, pengawasan serta operasi keselamatan maritim. Ia turut menyokong keperluan armada moden dalam persekitaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Perkembangan itu memberi petunjuk positif terhadap jadual perolehan kapal tempur baharu TLDM. Ia juga penting dalam usaha meningkatkan kesiagaan maritim negara, khususnya bagi operasi di perairan strategik Malaysia. – airtimes.my
