KUALA LUMPUR, 12 Jun – Malaysia merekodkan 8,334 kes sembuh COVID-19 hari ini, angka tertinggi dicatatkan sejak wabak itu melanda negara, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 572,113.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan tersebut menjadikan jumlah kes sembuh harian mengatasi jumlah kes baharu yang mencatatkan 5,793 kes pada hari ini.
Beliau berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 652,204 kes secara keseluruhan.
“Daripada keselurahan kes harian tersebut, 6 kes dilaporkan adalah kes import dan selebihnya kes penularan tempatan,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Selangor masih lagi kekal sebagai negeri yang mencatatkan kes positif baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,582 kes.
Negeri Sembilan pula melonjak kepada negeri kedua tertinggi yang melaporkan kes baharu COVID-19 dengan mencatatkan sebanyak 618 kes dan diikuti Sarawak sebanyak 569 kes.
Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham menjelaskan, sebanyak 8,334 kes pulih dilaporkan pada hari ini. Pertambahan tersebut menunjukkan jumlah pesakit sembuh dari wabak ini adalah sebanyak 572,113 kes.
Menurutnya, sebanyak 79 kes kes kematian pada hari ini yang melibatkan 27 kes di Selangor, masing-masing 9 kes di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, 8 kes di Johor, masing-masing 5 kes di Sabah dan Melaka, 4 kes di Sarawak, 3 kes di Kelantan, 2 kes di Kedah, serta masing-masing 1 kes di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Semalam, Malaysia mencatatkan 6,849 kes harian dan 84 kes kematian akibat COVID-19. -airtimes.my
⠀