LUMUT, 7 Mac – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membantu menyelamatkan mangsa insiden pelanggaran 2 buah bot di perairan Lumut, malam tadi.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat memaklumkan, kesemua penumpang dipercayai telah tercampak keluar namun anggota TLDM berjaya membawa naik 4 mangsa dalam
keadaaan kritikal.
“Kedua-dua bot seterunya telah merapat di jeti Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.20 malam bagi mendapatkan bantuan,
“Rawatan kecemasan seterusnya diberi setiba di jeti dan kesemua mangsa yang kritikal telah dibawa ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Pangkalan TLDM Lumut untuk rawatan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, sebuah bot yang membawa 17 penumpang dari Lumut ke Pangkor telah berlanggar dengan sebuah bot lagi dari arah bertentangan di perairan Lumut – Pangkor berhampiran Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketua Polis Manjung, Asisten Komisioner Polis (ACP) Nor Omar Sappi mengesahkan, 3 wanita berumur dalam lingkungan 26 hingga 43 tahun telah meninggal dunia di HAT Lumut.
Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama bomba serta TLDM melancarkan misi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima maklumat pada 9.17 malam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah bot membawa 17 penumpang dengan seorang tekong dari Lumut ke Pangkor, yang berlanggar dengan sebuah lagi bot dinaiki seorang tekong dan seorang penumpang dari arah bertentangan,
“Akibat pertembungan itu, 10 penumpang tercampak ke laut sebelum diselamatkan kedua-dua tekong bot berkenaan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, mangsa yang terkorban dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat, manakala seorang mangsa berumur 43 tahun kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan yang lain menerima rawatan pesakit luar. -airtimes.my