Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Eksesais LATMA ELANG MALINDO: TUDM, TNI-AU uji keupayaan operasi SAR

Eksesais LATMA ELANG MALINDO: TUDM, TNI-AU uji keupayaan operasi SAR

by Nurulhuda

KUCHING, 3 Dis – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Nasional Indonesia- Angkatan Udara (TNI-AU) telah melaksanakan latihan Misi Mencari dan Menyelamat (SAR) sempena Eksesais LATMA ELANG MALINDO Siri 28/2021.

TUDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, latihan SAR ini telah dilaksanakan di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan St Joseph pada 28 November sehingga 3 Disember 2021.

“Pangkalan Udara Kuching telah melaksanakan Latihan SAR sempena menyokong keperluan di dalam latihan bersama di antara TUDM dan TNI-AU dalam LATMA ELANG MALINDO Siri 28/2021,

“Helikopter EC 725 AP TUDM dari No. 5 Skuadron telah dipertanggungjawabkan bagi memastikan kelancaran eksesais khususnya aspek keselamatan berada pada tahap tertinggi di samping meningkatkan keupayaan bersama serta tahap kesiagaan operasi melibatkan misi SAR,

“Latihan yang menampilkan ‘Proving Flight’ berkonsepkan tinjauan yang telah dilaksanakan oleh juruterbang dan anak kapal untuk memastikan keselamatan di kawasan pendaratan serta menguji tahap profesionalisma di antara pihak-pihak yang terlibat dengan misi menyelamat itu,” jelas hantaran itu.

Di samping itu, latihan ini juga sebagai persiapan bagi membawa keluar mangsa jika berlaku kemalangan pesawat ke kawasan paling hampir dengan lokasi untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa dibawa menaiki ambulan untuk ke hospital yang berhampiran.

“Latihan SAR ini turut melibatkan anggota daripada Cawangan Operasi Udara, 710 Pusat Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (PPAT) dan Skuadran 215 HANDAU Pangkalan Udara Kuching,

“Selain itu, staf daripada Jabatan Kecemasan Hospital Umum Sarawak, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga terlibat dalam latihan ini,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply