Home Pertahanan dan Keselamatan Operasi SAR: Indonesia tamatkan pencarian kapal MV Dai Cat 06

Operasi SAR: Indonesia tamatkan pencarian kapal MV Dai Cat 06

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia menamatkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lalu.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, operasi itu dihentikan selepas semua usaha yang dilakukan tidak menemui sebarang petunjuk.

“Meskipun koordinasi antara negara yang dibuat BASARNAS ditamatkan, pemantauan oleh aset APMM yang beroperasi di lapangan, terutama di perairan Malaysia berdasarkan posisi terakhir akan tetap diteruskan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, BASARNAS juga akan mengaktifkan kembali pencarian sekiranya terdapat petunjuk baharu berkaitan MV Dai Cat 06 yang hilang di perairan Indonesia itu.

Jelasnya, dalam operasi itu, BASARNAS telah menggerakkan 4 aset terdiri daripada sebuah kapal, 2 bot dan sebuah pesawat, melibatkan kawasan pencarian seluas kira-kira 800 batu nautika persegi di perairan Natuna, Indonesia.

“Aset APMM Sarawak juga diaturgerak bagi membuat pencarian di sempadan Malaysia-Indonesia di perairan Tanjung Datu hingga ke perairan Kuching, namun tiada sebarang petunjuk,

“APMM buat masa ini masih meneruskan siasatan berhubung kehilangan kapal MV Dai Cat 06 dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambahnya lagi.

Kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan membawa muatan batang besi paip berserta 5 kru itu dipercayai hilang di perairan Indonesia, pada Isnin.

Dilaporkan MV Dai Cat 06 keluar dari Kampung Acheh, Perak pada 23 Disember 2022 menuju ke Kuching, Sarawak dan sepatutnya tiba pada 31 Disember lalu.-airtimes

Related Articles

Leave a Reply