MUAR, 14 FEB – Tentera Darat Malaysia (TDM) terus membuktikan komitmen melangkaui tugas hakiki mempertahankan kedaulatan negara dengan menerajui agenda transformasi infrastruktur komuniti menerusi Projek Kampung Angkat MADANI di daerah ini.
Inisiatif yang melibatkan peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi tahun 2025 itu memfokuskan kepada enam projek utama di bawah seliaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Langkah ini diambil bagi memastikan capaian kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat luar bandar terus dipertingkatkan.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman telah menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Kampung Angkat MADANI ATM 2025 bagi kawasan Kampung Parit Keroma Darat dan Kampung Parit Jamil hari ini.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, TDM menjelaskan bahawa penglibatan agensi keselamatan dalam pembangunan fizikal komuniti ini merupakan manifestasi kepada pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WoGoS) dalam merapatkan jurang infrastruktur di kawasan luar bandar.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Dato’ Azhan Md Othman tekun mendengar taklimat teknikal mengenai perincian pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI di Muar. Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Pemerintah 8 Skn RAJD, Mej Ts Mohd Aizuddin Ab Rahman, yang bertanggungjawab menyelia gerak kerja pembangunan infrastruktur di kawasan ini./Gambar: Tentera Darat Malaysia
“Pendekatan ini menekankan bahawa tanggungjawab pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat bukan hanya terletak di bahu agensi kerajaan semata-mata, malah memerlukan sokongan serta penglibatan aktif seluruh komuniti dan pihak berkepentingan di setiap peringkat,” jelas kenyataan tersebut.
Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan dua projek infrastruktur kritikal yang telah siap sepenuhnya untuk kegunaan penduduk setempat. Ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf tembok dan pagar perimeter Masjid Kampung Parit Keroma dengan kos sebanyak RM120,900.00.
Selain itu, Balai Raya Kampung Parit Jamil turut menerima nafas baharu menerusi pembangunan dewan terbuka, gelanggang serbaguna serta kerja-kerja penyelenggaraan komprehensif termasuk penukaran bumbung dan pendawaian elektrik yang menelan belanja RM410,004.00.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Dato’ Azhan Md Othman menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Kampung Angkat MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2025 bagi kawasan Kampung Parit Keroma Darat dan Kampung Parit Jamil./Gambar: Tentera Darat Malaysia
Terdahulu, sebanyak tiga projek di bawah peruntukan yang sama telah berjaya disiapkan dan dirasmikan di kawasan Kampung Temiang pada Oktober tahun lalu.
Sebagai inisiatif tambahan bagi menyantuni golongan sasar, PTD turut menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah bernilai RM150.00 setiap satu kepada 10 orang penerima asnaf terpilih dari kedua-dua kampung berkenaan. Sumbangan tersebut mengandungi barangan keperluan makanan asas bagi meringankan beban sara hidup mereka.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Haji Sani bin S. Omar; Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Zulhelmi bin Masdar dan Pegawai Daerah Muar, Tuan Haji Zainal bin Eran.
Turut hadir memberikan sokongan adalah kepimpinan tempatan termasuk Amil Baitulmal Majlis Agama Islam Muar, Ustaz Muhammad Adzrul Taib serta penghulu mukim dan ketua kampung bagi kawasan terlibat. – airtimes.my

Yahya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Ya dalam kalangan penduduk di sekitar Pantai Leka, Parit Jawa berkata beliau terus mengekalkan ramuan asal kerana ingin memulihara identiti asal masakan yang popular di negeri Melaka dan Johor itu.