KUALA LUMPUR, 22 JAN – Proses rundingan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan kini mencatatkan perkembangan positif dengan hampir 70 peratus kandungan dokumen strategik tersebut telah berjaya dipersetujui oleh negara-negara ASEAN dan China.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia yang kini memegang peranan sebagai Negara Penyelaras hubungan dialog ASEAN-China bagi tempoh tiga tahun sehingga 2027, optimis bahawa instrumen tersebut dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat, berkemungkinan pada tahun ini.
Jelas beliau, perkembangan itu dicapai menerusi siri mesyuarat di peringkat Pegawai Kanan mengenai COC serta Jawatankuasa Kerja Bersama (Joint Working Group).
“Perkembangan rundingan amat baik sekali, kita jangkakan COC ini akan dapat diselesaikan dan ditamatkan pada tahun ini. Kalau boleh, kita mahu tamatkan segera.
“Hal ini kerana banyak perkara dan terma yang dibincangkan di dalam dokumen COC ini telah pun mendapat persetujuan banyak pihak,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin berhubung perkembangan terkini proses rundingan COC di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau walau bagaimanapun menegaskan bahawa COC bukanlah satu instrumen perundangan untuk menyelesaikan isu pertindihan tuntutan wilayah atau kedaulatan di perairan tersebut.
Sebaliknya, Mohamad Hasan menjelaskan bahawa COC berfungsi sebagai satu kerangka pengurusan tata laku bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai zon yang bebas, selamat untuk laluan perdagangan, dan boleh dilalui oleh semua pihak tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“COC tidak berkenaan dengan pertindihan kawasan. Pertindihan kawasan diselesaikan dengan cara dua hala atau pelbagai hala berasaskan undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).
“Antara komponen utama dalam COC adalah berkenaan prinsip dan objektif tata laku serta langkah membina keyakinan termasuk isu kawalan diri supaya tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan di kawasan tersebut,” ujarnya.
Mengulas mengenai sejarah instrumen tersebut, beliau menyatakan bahawa asas kepada COC bermula daripada Dokumen Tata Laku (Document of Conduct) yang dimeterai pada tahun 2002.
Ia diwujudkan selepas ASEAN melihat perubahan landskap keselamatan Laut China Selatan yang dahulunya tenang, kini berubah menjadi kawasan sibuk serta menjadi tumpuan kuasa-kuasa besar dan mempunyai pertindihan tuntutan yang kompleks.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kehadiran aset tentera asing, beliau menjelaskan bahawa Malaysia terbuka kepada latihan ketenteraan bersama pelbagai negara di perairan negara selagi ia bertujuan untuk diplomasi pertahanan dan peningkatan keupayaan, namun menolak sebarang bentuk latihan yang bersifat provokasi terhadap negara lain. -airtimes.my
#COC #LCS #Pertahanan #Malaysia #Airtimes
