BERLIN, 25 JUN – Kementerian Pertahanan Jerman menamatkan projek perolehan enam frigat F126 untuk Deutsche Marine dan merancang menggantikannya dengan lapan frigat MEKO A-200 DEU bagi memenuhi keperluan peperangan antikapal selam.
Menurut kementerian itu, keputusan berkenaan dibuat selepas projek F126 mengalami kelewatan ketara, peningkatan kos yang besar serta risiko yang dinilai tidak lagi boleh dikira secara munasabah.
Keupayaan peperangan antikapal selam disifatkan mempunyai kepentingan tertinggi bagi pertahanan negara dan komitmen Jerman dalam NATO, khususnya di Atlantik Utara dan Laut Baltik.
Kontrak asal F126 melibatkan Damen Schelde Naval Shipbuilding sebagai kontraktor utama. Bagaimanapun, kementerian memaklumkan syarikat itu tidak dapat memenuhi kerangka masa dan kewangan yang dipersetujui.
Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius berkata, penerusan projek itu akan menyebabkan kelewatan besar, kos yang tidak seimbang dan risiko yang tinggi kepada perolehan berkenaan.
Beliau berkata, penghantaran kapal pertama pada asalnya dijangka membolehkan Jerman menyediakan keupayaan peperangan antikapal selam kepada NATO menjelang hujung dekad ini, namun jadual kemudian beralih sehingga 2032, iaitu empat tahun lewat daripada jadual asal.
Menurut Pistorius, kos projek yang sebelum ini sekitar 10 bilion euro kini dianggarkan hampir 18 bilion euro bagi frigat F126.
“Pada 2020, kos projek dianggarkan sekitar 10 bilion euro. Hari ini, hasil semakan kementerian menunjukkan jumlah kos keseluruhannya hampir mencecah 18 bilion euro bagi frigat berkenaan. Keadaan ini tidak boleh diterima,
“Lebih baik kita noktahkan perkara ini daripada terus terperangkap dalam ketidaktentuan yang berpanjangan. Kita tidak lagi mampu menanggungnya, baik dari sudut kewangan mahupun masa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Tentera Laut Jerman memerlukan frigat baharu dengan segera bagi membangunkan keupayaan peperangan antikapal selam yang diperlukan di bawah pelan pertahanan NATO.
Pistorius berkata, kerajaan kini merancang memperoleh lapan frigat MEKO A-200 DEU keluaran thyssenkrupp Marine Systems (TKMS).
Pistorius berkata, perancangan bagi MEKO A-200 telah mengambil kira keperluan mendapatkan kapal lebih awal berbanding jadual ketersediaan F126, dengan kapal pertama disasarkan bermula 2029.
Panglima Tentera Laut Jerman, Laksamana Madya Jan Christian Kaack berkata, Tentera Laut Jerman memerlukan kapal yang boleh segera digunakan dan khusus untuk keupayaan peperangan antikapal selam.
“Kami amat memerlukan aset kapal perang dikerahkan ke perairan dengan pantas, terutamanya bagi operasi peperangan anti-kapal selam. Dengan perolehan frigat kelas MEKO A-200, Tentera Laut akan menerima kapal tempur berkuasa tinggi yang amat diperlukan untuk melaksanakan tugas kami,” katanya.
Kaack turut menyatakan bahawa lapan kapal seragam akan memberi kelebihan dari segi operasi, penyelenggaraan, logistik dan latihan.
Kementerian Pertahanan Jerman menjelaskan bahawa semakan terhadap kemungkinan menukar kontraktor utama kepada Naval Vessels Lürssen B.V. & Co. KG juga tidak dapat menyelamatkan projek F126.
Menurut kementerian itu, pertukaran kontraktor turut memerlukan kerajaan persekutuan mengetepikan kemungkinan tuntutan ganti rugi terhadap kontraktor asal, DSNS, yang dinilai bertentangan dengan prinsip pengurusan dana awam secara bertanggungjawab.
TKMS sebelum ini memaklumkan bahawa syarikat itu dan Bundesamt für Ausrüstung, Informationstechnik und Nutzung der Bundeswehr telah menandatangani prakontrak projek MEKO A-200 DEU pada 3 Februari 2026.
Prakontrak itu membolehkan langkah persediaan awal dimulakan, termasuk perolehan bahan dan kerja-kerja awal di limbungan, bagi menyokong sasaran penyerahan kapal pertama menjelang akhir 2029. – airtimes.my
