KUALA LUMPUR, 4 Apr – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham mengesahkan 4 lagi kematian dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), hari ini.
Beliau berkata penambahan kes tersebut menjadikan jumlah kematian akibat wabak COVID-19 di negara ini sebanyak 57 kematian.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan, setakat tengah hari tadi, sebanyak 150 kes baharu dilaporkan.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan positif wabak berkenaan sebanyak 3,483 kes setakat ini,
“Daripada 150 kes ini, 80 adalah berkaitan dengan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling,
“Seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 50 daripada kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan,” jelas Dr Noor Hisham dalam siding media hari ini.
Dr Noor Hisham juga menjelaskan sebanyak 88 pesakit telah pulih dan ia menjadikan jumlah keseluruhan yang disacaj sebanyak 915 kes (26.27%) daripada keseluruhan kes.
Berikut laporan terperinci kematian akibat COVID-19 dalam negara hari ini :
1. Kes kematian ke-54 (kes ke-2,149) merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020, jam 12.10 pagi.
2. Kes kematian ke-55 (kes ke-860) merupakan seorang wanita warganeraga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dimasukan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020, jam 4.00 petang.
3. Kes kematian ke-56 (kes ke-2850) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau juga mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19 ke-1031. Pesakit telah dirawat di hospital Umum Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020, pada jam 4.16 petang.
4. Kes kematian ke-57 (kes ke-1575) merupakan seorang lelaki warga negara Malaysia yang berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020, jam 10.25 malam.