KULIM, 21 Okt – Demi mendapatkan pendapatan yang berlebihan, sepasang suami isteri ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim kerana terlibat dalam aktiviti mengedaran dadah di Kampung Bukit Rawa Sedim, Karangan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Samad berkata, penahanan sepasang suami isteri yang berusia 31 tahun dan tidak mempunyai anak itu, adalah susulan hasil tangkapan daripada 2 lelaki di lokasi berlainan.
Menurut beliau, pada mulanya pihak polis menahan seorang lelaki di ladang kelapa sawit Mahang dan menemui 6 plastik lut sinar berisi heroin dan satu plastik lut sinar berisi syabu dalam beg kuning bersama supek.
“Suspek yang tidak bekerja berusia 20-an itu didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan hasil soal siasat kita berjaya menahan seorang lagi lelaki kira-kira 30 minit kemudian di tepi jalan tidak jauh daripada situ,
“Pemeriksaan lanjut mendapati beg coklat dibawa suspek kedua itu mengandungi 2 paket plastik lut sinar berisi heroin dan satu paket plastik lut sinar berisi syabu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.
Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan ke atas suspek yang kedua juga mendapati tidak bekerja dan mempunyai 5 rekod jenayah lampau bersabit kes dadah berbahaya.
“Susulan daripada penahan 2 suspek terbabit membuatkan polis berjaya membongkar aktiviti pengedaran dadah oleh sepasang suami isteri yang ditahan ketika berada di rumah mereka dalam serbuan pada jam 6.30 petang hari sama dan berjaya merampas dadah jenis heroin serta syabu selain alat penimbang.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek lelaki positif morfin, manakala wanita yang juga isteri mekanik berkenaan didapati negatif dan kita percaya mereka ini adalah rangkaian sindiket pengedaran dadah sama,” katanya.
Sazalee berkata, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu dipercayai hanya berselindung di sebalik pekerjaannya bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan bekemungkinan bersubahat bersama isterinya bagi bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah.
“Dadah yang dirampas dalam 3 serbuan itu dianggarkan bernilai RM24,000 dan kita turut menyita dua motosikal serta wang yang semuanya bernilai RM5,340.
“Semua suspek direman selama 7 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika bersalah boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya lagi. -airtimes.my