KUALA LUMPUR, 15 DIS – Misil anti permukaan dan kapal Multi Role Support Ship (MRSS) antara perolehan utama yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke 13 bagi tahun 2026.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa penggulungan perbahasan Rang Undang Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari ini. Beliau menekankan komitmen kerajaan untuk menangani isu aset usang serta mempertingkat kesiapsiagaan pertahanan negara secara berperingkat dan realistik untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, perolehan misil anti-permukaan telah dirancang untuk digunakan pada Skuadron Rondaan ke-17.
Skuadron Rondaan ke-17 merupakan ketumbukan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meliputi kapal kelas KEDAH. MRSS pula merupakan antara perolehan TLDM yang dirancang melalui Pelan Transformasi 15-to-5 yang telah dijajarkan semula pada tahun lalu.
Antara perolehan lain yang dirancang termasuk pembelian dua bateri sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana (MERAD), sistem pertahanan udara jarak sangat dekat dan jarak dekat (VSHORAD dan SHORAD), kenderaan Infantry Section Vehicle serta sistem mortar bermotor 81 milimeter (81mm Motorized Mortar System).
Menurut beliau, semua perolehan aset pertahanan dilaksanakan berlandaskan punca kuasa serta prinsip perolehan kerajaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
“Semua perolehan aset pertahanan sememangnya dilaksanakan berlandaskan Punca Kuasa, Prinsip dan Kategori Perolehan Kerajaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia,
“Melalui pekeliling dan garis panduan ini, setiap Kementerian diwajibkan memastikan urusan perolehan mematuhi amalan tadbir urus terbaik (good governance practices), berpaksikan prinsip ketelusan, akauntabiliti, persaingan adil dan keberkesanan nilai,” tegas Menteri Pertahanan.
Berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), Menteri Pertahanan memaklumkan usaha menyiapkan projek tersebut masih berjalan dan kapal pertama dijangka diterima pada akhir tahun 2026. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #TLDM #ATM
