KUALA LUMPUR, 11 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan terhadap kes rampasan terbesar melibatkan dadah heroin oleh Pihak Berkuasa Australia pada bulan lalu.
Ini berikutan maklumat dadah yang dirampas dibawa dari sebuah pelabuhan di negara ini.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dadah berkenaan dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) yang dikesan pada 13 Mac lalu.
“Pihak Berkuasa Australia berjaya mengesan dadah jenis heroin seberat 336 kilogram (kg) dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas,
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
AFP dalam kenyataan minggu lepas memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam 2 blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.
Menurut kenyataan itu, semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.
Kenyataan itu memaklumkan pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin.
Penyiasat AFP serta pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin. -airtimes.my