Menurut Najib, pendedahan itu dibuat bagi membersihkan namanya daripada pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Memandangkan saya bukan lagi Perdana Menteri dan Raja Abdullah telah mangkat, saya rasa adalah bersesuaian untuk saya dedahkan dokumen berikut bagi membersihkan nama saya dari pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Saya bersama peguam mengambil masa yang agak lama untuk memperoleh dokumen ini daripada bank namun kami berjaya mendapatkan sebahagian besar darinya. Dokumen berikut adalah bagi sumbangan tahun 2011 sahaja. Pihak berkuasa dan bank ada dokumen yang sama,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebook beliau hari ini.

Najib mendedahkan sebanyak tiga dokumen dihantar daripada Raja Abdullah, salah satunya tertera perkataan Recognition of Contribution to the Islamic World (pengiktirafan sumbangan kepada dunia Islam) bertarikh 1 Februari 2011.

Sementara dua lagi dokumen adalah penyata transaksi kewangan yang diterima bertarikh 24 Februari 2011 dan 25 November tahun yang sama. – Utusan Online