Home Pertahanan dan Keselamatan JIM tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen didalangi 2 warga Pakistan

JIM tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen didalangi 2 warga Pakistan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen serta cap keselamatan Imigresen yang didalangi 2 warga Pakistan semenjak 3 tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, 2 lelaki tersebut telah ditahan dalam siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di 2 lokasi premis kediaman di Ampang dan Wangsa Maju awal pagi Selasa.

“Operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat berhubung kegiatan suspek berkaitan penipuan melibatkan urusan Imigresen,

“Serbuan dan pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Risikan Operasi Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan JIM Putrajaya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dzaimee berkata, serbuan dan pemeriksaan di premis pertama di Ampang telah menjumpai cap keselamatan Imigresen Malaysia, cap nama pegawai JIM, cap kedutaan asing, cap keluar dan masuk negara Pakistan.

Turut ditemui cap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), cap bank, pelbagai cap syarikat dan surat kelulusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dipalsukan.

Manakala, serbuan di premis kedua di Wangsa Maju telah menjumpai cap nama pegawai JIM, cap pesuruhjaya sumpah, cap Majlis Agama Islam Narathiwat dan satu naskah pasport India.

“Suspek pertama yang berumur 32 tahun telah tinggal lebih masa selain memiliki pasport tamat tempoh, manakala suspek kedua yang berumur 37 tahun memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang suami kepada warganegara,

“Kedua-dua mereka yang ditahan dipercayai telah menjalankan kegiatan ini semenjak 3 tahun lalu dan menjadi perantara kepada pelanggan dari kalangan warga asing yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),

“Bayaran yang dikenakan adalah antara RM 2,500 hingga RM 4,000 bagi setiap passport,” ujarnya.

Menurutnya, sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian dengan beberapa lagi ejen warga asing lain yang telah dikenal pasti termasuk orang tempatan.

Katanya, JIM sedang memburu suspek-suspek tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh melaporkan kepada Imigresen.

“Operasi dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berkaitan dengan COVID-19,

“Suspek telah ditahan di Depot Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan lanjut setelah saringan dan hasil keputusan ujian negatif,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply