PUTRAJAYA, 24 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan 4 pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkuatkuasa 1 Julai 2020.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, tempoh pelantikan itu adalah untuk tempoh 3 tahun dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Pengerusi EAIC.
Seri Paduka Baginda turut memperkenankan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali sebagai Timbalan Pengerusi EAIC.
Selain itu, dua lagi adalah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O’hara dan Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.
“Pelantikan ini akan memperkukuhkan pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang berintegriti dan efektif dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan,
“Kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada barisan pesuruhjaya EAIC terdahulu iaitu Datuk A. Aziz A. Rahim, Datuk Sabariah Hassan, Prof Madya Dr Abang Ekhsan Abang Othman, Lee Sow Siong, Leong May Chan dan James Deva Nayagam Gnanaratnam. – airtimes.my