MANILA, 10 Nov – Seramai 7 orang maut apabila pertempuran tercetus di antara pasukan tentera Filipina dan kumpulan bersenjata Moro, MILF di Basilan.
Sehingga kini, 3 anggota tentera dan 4 individu disyaki anggota kumpulan bersenjata maut.
Pertempuran tercetus semenjak Selasa lalu di kawasan perkampungan di Ungkaya Pukan.
Insiden tersebut disahkan oleh Brigedier Jeneral Domingo Gobway, komander 101st Infantry Brigade.
Menurut beliau, anggota tentera dari 64th Infantry Battalion Tentera Darat Filipina sedang dalam kedudukan bertahan.
“Mereka (tentera) sedang melakukan kedudukan pertahanan kerana MILF yang memulakan pertempuran,” kata Domingo yang dipetik oleh agensi media Filipina.
Pertempuran antara kedua-dua pihak tercetus pada tengah hari Selasa lalu apabila salah seorang anggota tentera Filipina mengalami kecederaan ringan akibat terkena tembakan.
Domingo mendakwa, kumpulan MILF di kawasan terbabit adalah dipimpin oleh Komander Huram dan dibantu oleh kumpulan individu bersenjata yang tidak dikenali.
Pertempuran yang tercetus antara pasukan tentera kerajaan dan kumpulan senjata terbabit telah menyebabkan penduduk kampung lari menyelamatkan diri.
Sementara itu, Pengerusi panel pendamaian MILF, Mohagher Iqbal menyuarakan rasa kesal dan sedih terhadap insiden yang sedang berlaku di Basilan.
“Tiada siapa mahukan perkara ini berlaku terutamanya semasa pelaksanaan Perjanjian Komprehensif Bangsamoro (CAB) 2014,
“Panel pendamaian MILF menggesa semua pihak untuk berhenti sengketa bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk,
“Ini perlu dilakukan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk,” kata Mohagher dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau turut meminta pihak MILF, kerajaan Filipina dan panel pendamaian untuk melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca insiden tersebut.
CAB 2014 merupakan perjanjian damai antara kumpulan pemisah MILF dengan kerajaan Filipina. Melalui perjanjian tersebut, MILF akan menggugurkan desakan untuk membebaskan wilayah Selatan Filipina dari Manila.
Sebagai pertukaran, wilayah autonomi Bangsamoro dibentuk.
Perjanjian CAB 2014 dimeterai di Istana Malacanang pada 27 Mac 2014 dan disaksikan oleh wakil Malaysia, Allahyarham Tengku Dato Ab Ghafar Tengku Mohamed. – airtimes.my