KUALA LUMPUR, 14 Jan – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dipecat sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
Abdul Hadi berkata, pemecatan Khairuddin adalah perkara biasa dalam parti.
“Itu biasa dalam parti, tak terpilih dalam muktamar, diberhentikan ditukar itu biasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, keputusan pemecatan jawatan Khairuddin telah diputuskan dalam mesyuarat PAS Pusat, pada Rabu.
Ketika ditanya mengenai punca sebenar Khairuddin dipecat, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut.
“Urusan itu dikendalikan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan,
“Mesti ada alasan-alasan yang dikemukakan parti, mestilah banyak alasannya, dalam parti ada displin, siapa yang tak ikut disiplin dia boleh dinasihatkan dan boleh ditukar jawatan dia, bertugas di tempat lain dan digantung keahlian atau pun dipecat,” ujarnya. – airtimes.my