KUALA LUMPUR, 22 SEPT – Malaysia hari ini menerima sumbangan pesawat tanpa pemandu (UAV) daripada Jepun di bawah program Official Security Assistance (OSA), sekali gus memperkukuh hubungan strategik pertahanan kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sumbangan ini bukan sekadar pemindahan aset, sebaliknya mencerminkan kepercayaan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah refleksi hubungan yang rapat antara Malaysia dan Jepun. Hubungan itu tidak hanya terhad kepada bidang-bidang yang biasa tetapi hari ini juga telah meningkat dan menjangkau kepada bidang pertahanan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penerimaan Peralatan UAV Dron di bawah Inisiatif OSA, Jepun, hari ini.
Melalui inisiatif ini, Malaysia menerima 14 buah UAV jenis Vertical Take-Off and Landing yang diagihkan kepada Tentera Darat Malaysia (6 unit), Tentera Laut Diraja Malaysia (6 unit), serta 2 unit kepada Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan.
Sumbangan bernilai 400 juta Yen (RM12.63 juta) ini turut meliputi aset tambahan seperti 7 bot penyelamat dan 2 road cleaning truck yang akan diterima secara berperingkat.
“Kerjasama pertahanan strategik ini jelas membuktikan sokongan Jepun dalam memelihara kestabilan serantau. Ia bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan ATM, malah turut mempereratkan persahabatan dan solidariti antara dua negara,”tambahnya.

Sementara itu, kerjasama ini turut melibatkan latihan bersama, dengan 12 pegawai ATM telah menjalani latihan UAV di Jepun pada Mei lalu.
Latihan susulan akan diteruskan di Teluk Sepanggar, Lok Kawi dan Paya Jaras bagi memastikan anggota ATM benar-benar bersedia mengoperasikan teknologi baharu itu.
Mengulas lanjut, Khaled menegaskan, kerjasama pertahanan Malaysia–Jepun sudah berakar sejak 1957 dan diperkukuh menerusi Perkongsian Strategik Komprehensif yang dimeterai pada Disember 2023.
Malah, Jepun telah mengenal pasti Malaysia sebagai penerima seterusnya di bawah OSA 2025, menandakan keyakinan berterusan Tokyo terhadap hubungan pertahanan kedua-dua negara.
Turut hadir ialah Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki serta Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan. – airtimes.my
#pertahanan #keselamatan #UAV #ATM #OSA #Jepun #Malaysia #airtimes



